Dr Md Amin (dua dari kiri) bertukar dokumen perjanjian persefahaman dengan Datuk (Dr) Ir. Guntor Tobeng di Fakulti Sains dan Matematik, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City baru-baru ini.

TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Fakulti Sains dan Matematik (FSM) sekali lagi mencipta sejarah apabila membina kerjasama dengan syarikat solar ternama, Gading Kencana Sdn Bhd (Gading Kencana) apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) hari ini di Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City.

Dengan termeterainya perjanjian itu, kedua-dua pihak akan merencanakan program yang bermanfaat bersama dalam bidang pendidikan, penyelidikan, perundingan dan pengkomersialan berkaitan tenaga boleh baharu.

Pada majlis itu, UPSI diwakili oleh Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff, manakala Gading Kencana diwakili Pengarah Urusan, Datuk (Dr.) Ir. Muhamad Guntor Mansor Tobeng.

Menurut Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff, usahasama UPSI dan Gading Kencana sangat penting bagi mewujudkan perkongsian pintar dalam aspek pengetahuan, kemahiran, pengalaman, dan kepakaran dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), sekali gus memberi faedah kepada mahasiswa UPSI melalui pemindahan ilmu, kepakaran dan kemahiran.

”Kita yakin semangat kerjasama dan profesionalisme yang tinggi antara FSM dan Gading Kencana, ia dapat memastikan aspirasi negara tercapai dalam membangunkan masyarakat berilmu tentang solar berikutan sumber tenaganya
yang bersih serta membantu memacu negara mencapai matlamatnya menjadi negara maju,” katanya.

Jaringan kerjasama di antara (FSM) UPSI dan Gading Kencana ini akan memperkasakan akademia dan industri melalui peluang kolaborasi dalam pelbagai program pendidikan dan penyelidikan yang releven dengan masa kini serta berimpak tinggi.

Beliau berkata, banyak program dirancang antaranya program sangkutan pensyarah dan penempatan latihan industri mahasiswa UPSI di ladang solar milik Gading Kencana bertujuan meningkatkan perkongsian profesional dari segi ilmu dan
pengetahuan, penulisan dan penerbitan artikel dan makalah antara akademia dan industri.

Datuk Guntor yang juga Prof Adjung di FSM berkata, perjanjian mencakupi lapan bidang itu akan memberi manfaat kepada mahasiswa UPSI sebagai generasi baharu yang perlu meneroka ilmu pengetahuan tenaga baharu.

Kepakaran UPSI yang bergabung dengan Gading Kencana memberi peluang untuk membina model data raya berkaitan keberangkalian cuaca yang memiliki nilai komersial yang boleh dipasarkan di negara ini Beliau berkata UPSI memiliki kepakaran dalam bidang sains yang boleh digabungkan dengan teknologi solar untuk menjana pelbagai pendapatan dan
membina masa depan UPSI yang lebih baik.

Sebelum ini Gading Kencana berkolaborasi dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Universiti Tun Hussein Onn (UTHM).

“Insya-Allah, kolaborasi bersama UPSI akan dipastikan memberi impak kepada negeri Perak selain membantu membina kekuatan dalaman universiti,” katanya.

Menerusi perjanjian itu juga, Gading Kencana akan menghantar panel solar ke makmal solar UPSI yang dinamakan Makmal Guntor Tobeng untuk membolehkan kajian penggunaan sekunder dilakukan untuk tujuan pengajaran dan penyelidikan.

Dekan FSM, Prof Madya Dr. Mohd Faizal Nizam Lee Abdullah berkata, peluang kerjasama dalam bidang penyelidikan ini bukan hanya membabitkan bidang fizik dan teknologi tenaga sahaja, malah boleh diperluaskan dalam bidang
matematik, kimia dan biologi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast