MELAKA – Hospital Melaka akan dilengkapi sebuah bangunan wad isolasi separa kekal bernilai RM1.3 juta yang mula dibina pada tahun hadapan.
Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, bajet untuk pembinaan wad yang dikhaskan untuk pesakit penyakit berjangkit dengan kerjasama Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY) sudah pun diluluskan sebelum ini.
Menurutnya, pihaknya bagaimanapun memerlukan sedikit masa lagi untuk mendapat peruntukan tambahan RM300,000 yang dijangka diperolehi sebelum Disember ini sebagai tambahan kepada RM1 juta yang sudah diperolehi.
“Wad isolasi ini ibarat seperti jabatan kecemasan namun ianya khas untuk penyakit berjangkit supaya ia tidak mengganggu
jabatan kecemasan sedia ada.
“Kawasannya kita akan buat wad separa kekal ini di kawasan parkir bersebelahan ruang lobi hospital yang akan menempatkan antara 40 hingga 50 buah katil,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Kompleks Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan Kawasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Merlimau, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal berkata, pelaksanaan wad itu juga membuktikan usaha berterusan kerajaan mempertingkatkan langkah pencegahan dan kawalan jangkitan di negeri ini. – MalaysiaGazette.