Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Dr. Ibrahim Ali bercakap kepada media ketika di bilik gerakan di DUN Paya Rumput, Melaka. Foto MOHD ADZLAN, 07 NOVEMBER 2021.
Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mengemukakan beberapa agenda utama perjuangan parti itu melalui Gerakan Tanah Air (GTA) sekiranya mendapat sokongan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, agenda itu ialah mengembalikan semula Tanah Rizab Melayu yang asalnya 50 peratus dan kini hanya tinggal 12 peratus.

Kedua, katanya, Putra akan memastikan pembahagian kes ekonomi dapat dinikmati oleh semua kaum dengan adil dan ketiga, mewujudkan Akta Sabotaj Ekonomi sebagai usaha membanteras segala penyelewengan, kecurian dan penyalahgunaan kuasa terhadap ekonomi negara.

Menurut beliau, Putra juga akan menghidupkan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dimansuhkan pada zaman Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Mengenai Rizab Tanah Melayu yang sudah banyak hilang, cukuplah penyerahan Singapura kepada orang lain jadi pengajaran dan begitu juga Pulau Pinang, apa sudah jadi dengan orang Melayu di negeri itu.

“Agenda utama perjuangan Putra ini akan dilaksanakan sebaik sahaja GTA mengambil alih pentadbiran Putrajaya.

“Saya, atas nama perjuangan Putra akan bantu Tun Dr. Mahathir dalam menyelamatkan negara kita ini dari punah ranah oleh pihak-pihak berkepentingan dan tidak bertanggungjawab,” katanya pada Majlis Makan Malam Putra di sini, semalam.

Dahulu katanya, orang Melayu dan umat Islam boleh bergantung harap kepada UMNO dan Pas, tetapi kedua parti itu sekarang sudah terpesong dari perjuangan asal kerana pentingkan jawatan dan kuasa dalam kerajaan.

“Dulu orang Melayu ada parti UMNO untuk jaga kepentingan mereka, umat Islam ada parti Pas untuk menjaga Islam. Dua parti ini pelengkap antara satu sama lain bagi menjaga bangsa kita dan umat kita.

“Malangnya, dua parti ini telah mengkhianati perjuangan bangsa dan agama serta menggunakan parti sebagai alat politik. Sebab itulah Putra ditubuhkan,” katanya.

Kata Ibrahim, beliau tubuhkan Putra, sama ada keputusannya betul atau tidak disebabkan sudah hilang keyakinan kepada UMNO.

“Walaupun hakikatnya banyak pihak memperlekeh Putra, konon tidak mungkin kita boleh pergi jauh, siapalah Putra ini yang diterajui pemimpin yang tidak boleh pergi jauh, tidak ada apa-apa tidak seperti parti-parti yang dipimpin oleh bekas Timbalan Perdana Menteri (PKR), oleh Perdana Menteri (Bersatu) dan oleh bekas menteri (Amanah).

“Maka, siapalah Putra ini, parti kais pagi makan pagi dan miskin. Cuma beza Putra dengan mereka ini ialah semangat kita bersih, sifat kita berintegriti dan inilah asas perjuangan nasionalisme Islam yang kita dokong.

“Tak apalah kita berkayuh dengan lidi, ada waktu kita merangkak, ada waktu kita minum air sejuk, tak apa,” ujar beliau.

Mengenai sambutan Hari Kemerdekaan ke-65, Ibrahim menjelaskan, beliau tidak ada semangat untuk menyambutnya berdasarkan keadaan orang Melayu yang semakin miskin dan tidak maju.

Menurutnya, ini berbeza ketika di zaman Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri, telah meletakkan negara ini tersohor di mata dunia, menjadi contoh kepada negara Islam dan Singa Asia dari segi ekonomi.

Namun, selepas Tun Dr. Mahathir undur diri pada tahun 2004, tahun demi tahun yang dilakukan meletakkan keadaan negara semakin sehari semakin punah.

“Apa kita nak bangga dengan kemerdekaan 65 tahun ini kalau akhirnya hari ini negara kita berhutang RM1.4 trilion? Apa yang kita nak banggakannya kalau kos sara hidup rakyat makin meningkat, duit kita jatuh merudum.

Ringkas cakap, saya kata saya tak bangga. Negara kita Malaysia bukan besar, rakyat 32 juta, Allah bagi minyak, gas, kelapa sawit, getah, bahan galian, kayu kayan dengan rakyat 32 juta, boleh terlekat hutang RM1.4 trilion.

“Sudah sampai masanya negara ini diurus oleh pemimpin bersih, yang berintegriti, bukan saja tidak lekat hutang yang banyak, malah mungkin rizab kita berjumlah trilion ringgit.

“Dari situ kita boleh laksanakan dasar pendidikan percuma untuk semua kaum. Tidak perlu lagi bergaduh dengan kaum Cina dan India berebut biasiswa. Begitu juga, kita boleh laksanakan perubatan percuma untuk seluruh rakyat tanpa kira kaum.

“Malah, kita boleh beri rumah percuma kepada golongan miskin iaitu B40. Tidak mustahil perkara ini boleh dilaksanakan kalau negara dipimpin oleh pemimpin yang bersih dan berintegriti,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast