Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Doktrin sama ada pemisahan kuasa antara tiga badan iaitu Legislatif, Eksekutif dan Kehakiman di negara ini benar-benar dipraktikan menjadi persoalan.

Ini selepas Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob menghantar surat kepada Datuk Collin Lawrence Sequerah meminta Hakim Mahkamah Tinggi itu mengutamakan kes melibatkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mempersoalkan sama ada Jabatan Peguam Negara sebagai badan eksekutif boleh mencampuri urusan badan kehakiman.

“Walaupun hari ini Pejabat Peguam Negara telah mengeluarkan kenyataan menarik balik surat tersebut, Pemuda UMNO menuntut penjelasan tuntas Peguam Negara.

“Kerana melibatkan kredibiliti dan imej institusi yang mula dikaitkan dengan percaturan politik sejak Tommy Thomas sendiri dengan bongkak mendedahkan kuasanya ketika menjadi Peguam Negara dalam buku beliau.

“Saya tidak persoalkan soal siapa salah, siapa betul dalam keputusan mahkamah. Isu utama di sini apakah Peguam Negara juga terlibat dalam percaturan politik? Apakah wujud doktrin pemisahan kuasa?” tanya beliau.

Semalam surat rasmi Jabatan Peguam Negara kepada Collin Lawrence bertarikh 29 Ogos tular di media sosial.

Dalam surat tersebut Abdul Malik berkata, beliau telah diarahkan untuk memohon kepada hakim itu untuk memberi keutamaan ke atas kes Ahmad Zahid mengatasi perbicaraan kes 1MDB.

Permohonan tersebut dibuat untuk membolehkan perbicaraan kes yang berada di peringkat pembelaan diselesaikan dengan kadar segera.

Surat itu telah dihantar kepada Collin petang semalam dan salinannya telah diberikan kepada pasukan pembelaan Ahmad Zahid.

Surat tular beri keutamaan kepada kes rasuah Yayasan Akalbudi Datuk Seri Ahmad Zahid

Bagaimanapun pendakwaan hari ini menarik balik surat yang dihantar kepada Collin.

Abdul Malik berkata, berikutan surat itu ditarik balik dan tiada permohonan sedemikian di mahkamah, perkara tersebut dianggap selesai.

Collin kemudian menegaskan, tidak ada sesiapa yang mampu mengarahkan mahkamah untuk memberi keutamaan terhadap kes tertentu.

Katanya, perbicaraan yang membabitkan Ahmad Zahid akan diteruskan mengikut tarikh yang telah ditetapkan.

Terdahulu, peguam utama yang mewakili Ahmad Zahid, Hisyam Teh Poh Teik melahirkan kebimbangan beliau terhadap surat itu dan berharap perbicaraan akan berlangsung mengikut landasan undang-undang. – MalaysiaGazette