Merdeka 118 Najib Razak
The Merdeka 118 Tower in Kuala Lumpur. PIX: AFFAN FAUZI/ MalaysiaGazette / 8 DECEMBER 2021. Bangunan Merdeka 118 di Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 08 DISEMBER 2021.

HARI ini genap seminggu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hidup di dalam penjara. Pada 23 Ogos lalu Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman 12 tahun penjara ke atas beliau.

Esok adalah sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-65 dan esok juga adalah kali pertama Najib akan menyambutnya keseorangan di dalam Penjara Kajang.

Jasadnya terkurung tidak bebas namun bagi mereka yang merindui bekas Perdana Menteri itu legasinya masih merdeka, malah ada yang berdiri megah untuk diingati.

Merdeka 118

Najib melancarkan projek Merdeka PNB118 pada Mac 2016. Bangunan ikonik milik Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu dibina di tapak Pembangunan Projek Warisan Merdeka.

Pembinaan bangunan kedua tertinggi di dunia itu menjadi salah satu sasaran cemuhan oleh musuh politik Najib antaranya dituduh menggunakan wang kerajaan, Petronas atau kroni.

Menara Merdeka 118 yang merupakan bangunan kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa dan dijangka siap sepenuhnya sebelum akhir tahun 2022 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Warisan Merdeka Tower (KL118), Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 16 OGOS 2022.

Keputusan membina Merdeka 118 tersebut dibuat ketika ekonomi negara rancak di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) dan ketika dividen Amanah Saham Bumiputera tinggi secara konsisten.

Reka bentuk menara secara simbolik mencerminkan imej Perdana Menteri Pertama Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ketika mengangkat tangan melaungkan Merdeka!

Merdeka 118 kini berdiri mengah dan menjadi salah satu simbol kebanggaan negara dengan ciri-ciri moden yang amat ketara.

Exchange 106

Projek Exchange 106 dilancarkan bersama-sama dengan Tun Razak Exchange (TRX) oleh Najib pada tahun 2012.

Menara dengan ketinggian 450 meter itu menjadi salah satu mercu tanda dan menambah permata baharu di Kuala Lumpur.

Dengan ketinggian 452 meter, Exchange 106 tergolong antara 10 bangunan pejabat tertinggi di dunia.

Pemandangan pada waktu malam yang menampakkan bakal bangunan pencakar langit yang tertinggi di Malaysia, Menara Exchange 106 yang giat dibangunkan di Tun Razak Exchange (TRX) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 14 OGOS 2019

Reka bentuk yang bertaraf dunia, menjadikannya setanding hartanah terkemuka antarabangsa lain seperti The Shard, bangunan di Canary Wharf, London; One World Trade Centre New York, Amerika Syarikat; dan Shanghai IFC.

Pembinaan projek itu turut mendapat cemuhan musuh politik Najib dan ada yang mendakwa ia tidak ada dapat disiapkan.

“Siapa cakap projek ini (Tun Razak Exchange-TRX) tidak jadi”?

Itu maklum balas ringkas dan pantas Najib selepas beliau mengakhiri lawatannya ke Galeri TRX pada 5 Jun 2017.

Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak diiringi Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif TRX City Sdn. Bhd, Datuk Azmar Talib (dua kanan) ketika mengadakan lawatan kerja kemajuan Projek TRX di tapak Tun Razak Exchange (TRX), Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 05 JUN 2017.

Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan Sarawak

Pada April 2016 Najib melancarkan Lebuhraya Pan Borneo Sabah. Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah bermula di sempadan Sarawak di Sindumin, Sipitang di selatan pantai barat hingga ke Tawau di pantai timur dengan jarak sepanjang 706 kilometer bagi projek fasa satu.

Ia membabitkan 35 pakej pembinaan, antaranya sepanjang Sindumin-Kampung Melalia, Sipitang; Papar-Dongongon; Pakej Satu Tawau-Semporna; Lahad Datu Bypass; Kampung Lot M-Batu 32, Sandakan dan Putatan-Inanam

Najib kemudiannya melancarkan lapan pakej Lebuhraya Pan Borneo Sarawak yang pada Disember 2016.

Lebuhraya Pan Borneo masih dalam pembinaan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Kimanis, Sabah. foto FAREEZ FADZIL, 19 JANUARI 2020

Ia merupakan sebahagian daripada 11 pakej jajaran Lebuhraya Pan Borneo Sarawak yang sedang giat dilaksanakan di pelbagai kawasan di Sarawak yang akhirnya meliputi jajaran sepanjang 1,089 kilometer.

Sebahagian fasa projek itu telahpun siap sementara yang lain masih dalam pembinaan.

MRT, LRT, ECRL

Perubahan landskap pengangkutan darat paling ketara mengalami perubahan adalah pada pentadbiran Najib. Beliau boleh dianggap sebagai bapa pengangkutan moden.

Beliau melancarkan projek My Rapid Transit (MRT) pada 8 Julai 2011. Laluan sejauh 51 kilometer (km) dari Sungai Buloh ke Kajang itu dapat menyediakan sistem pengangkutan awam yang efisien kepada orang ramai. Terdapat 31 perhentian sepanjang jajaran Sungai Buloh-Kajang.

Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai (dua kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif MRT, Datuk Seri Shahril Mokhtar (kanan) melihat pelan laluan MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya ketika hadir pada Majlis Pelancaran Kerja Pembinaan Terowong MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya di Stesen MRT Bandar Malaysia, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 01 MAC 2018

Kemudian dia melancarkan kerja-kerja terowong bawah tanah untuk Laluan MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) di Bandar Malaysia pada 1 Mac 2018.

Laluan SSP adalah yang kedua di bawah projek MRT Lembah Klang dan akan bermula dari Sungai Buloh ke Putrajaya melalui Kepong, Batu, Jalan Ipoh, Titiwangsa, KLCC, Tun Razak Exchange, Bandar Malaysia, Sungai Besi, Serdang, UPM dan Cyberjaya.

Projek tersebut akan meliputi pembinaan 35 buah stesen yang mana 11 daripadanya akan berada di bawah tanah.

Selain itu dia menyambung usaha Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam memperkasakan pengangkutan Transit Aliran Ringan (LRT) dengan melancarkan LRT 2 sepanjang 35 km pada 2011 dan LRT 3 melibatkan jajaran sepanjang 37 kilometer pada Ogos 2016.

Datuk Seri Najib Tun Razak melawat ruang pameran sambil diiringi Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar (kanan) turut serta Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai (kiri) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan (dua kanan) pada Majlis Pelancaran Pemeriksaan Awam Projek ECRL di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM,08 MAC 2017

Najib turut melancarkan projek East Coast Rail Link (ECRL) yang menghubungkan Pantai Timur dengan Pantai Barat Semenanjung pada Ogos 2017.

BR1M, Klinik Rakyat 1Malaysia

Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) adalah bantuan paling diingati oleh rakyat kepada Najib.

Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) kepada salah seorang penerima yang merupakan Orang kelainan Upaya (OKU) pada Majlis Pelancaran Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M 2018) Peringkat Kebangsaan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan, Pahang. foto FAREEZ FADZIL, 25 FEBRUARI 2018

Walaupun ia dianggap rasuah kepada rakyat oleh pemimpin pembangkang tetapi ia kemudiannya diteruskan oleh Kerajaan Pakatan Harapan selepas menang Pilihan Raya Umum ke-14 dengan menjenamakan semula kepada Bantuan Sara Hidup.

Banyak lagi jasa Najib kepada rakyat dan negara yang boleh disenaraikan. Biarpun jasadnya dipenjara legasinya yang merdeka tetap tersebar ke seluruh negara. – MalaysiaGazette