Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas secara tegas tidak akan mengadakan sebarang kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) mahupun mana-mana parti komponen dalam PH untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Pas juga menolak cadangan konsep ‘khemah besar’ yang mengabungkan semua parti yang mahu menentang Barisan Nasional dan UMNO.

Perkara tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Harian Pas Pusat yang diadakan pada 29 Ogos.

Menurutnya, Pas tetap mengutamakan konsep penyatuan ummah dan perpaduan nasional dalam setiap langkah dan pendirian politik.

“Pas amat optimis pendekatan penyatuan ummah tersebut boleh dicapai melalui kolaborasi parti-parti utama di negara ini yang berteraskan konsep perpaduan Melayu-Islam dan bumiputra kerana ia adalah formula paling berkesan serta diterima oleh majoriti rakyat Malaysia,” kata Takiyuddin dalam satu kenyataan.

Sementara itu, mesyuarat berkenaan turut memutuskan bahawa kerajaan negeri yang diterajui oleh Pas tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri masing-masing lebih awal dari bulan Mac 2023.

Ia dibuat atas dasar dasar penumpuan yang lebih perlu diberikan kepada aspek pemulihan dalam kehidupan rakyat buat masa ini terutama di bidang perekonomian selain dari kesihatan.

“Pas mengambil pendekatan bersikap terbuka dalam mencari formula terbaik bagi mewujudkan kerjasama politik dengan mana-mana pihak yang mengutamakan perpaduan serta keharmonian dalam menghadapi PRU15 demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

“Perkara-perkara di atas akan turut diberikan tumpuan semasa Muktamar Tahunan PAS Ke-68 yang akan diadakan di Alor Setar, Kedah pada 3 dan 4 September 2022,” katanya.

Semalam Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulangi komitmen supaya semua pimpinan parti pembangkang mempertimbang membuka semula pintu rundingan berdasarkan kepada kebimbangan disuarakan rakyat ketika ini, jauh sekali demi kepentingan politik gabungan itu.

Katanya, PN berpandangan semua pimpinan parti pembangkang berunding demi memastikan masa depan negara yang lebih selamat bertujuan mengelak negara terjerumus dalam kancah kleptokrasi, rasuah serta salah guna kuasa yang didakwanya dilakukan oleh Barisan Nasional.-MalaysiaGazette