Ismail Sabri Yaakob

PUTRAJAYA – Pemerkasaan budaya intrapreneurship dalam organisasi awam amat penting bagi memastikan penjawat awam kekal relevan dengan keperluan semasa dan masa hadapan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Beliau berkata, budaya itu menerapkan kepada setiap anggota perkhidmatan awam supaya berfikir merekalah yang menjalankan perniagaan atau usahawan untuk sentiasa proaktif, efektif dan efisien bagi memudahcara serta meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada semua pemegang taruh.

Katanya, tindakan perlu cepat, tepat dan berkesan serta memenuhi ekspektasi yang diharapkan oleh rakyat dan sesiapa sahaja yang menerima perkhidmatan kerajaan.

“Penjawat awam juga perlu memiliki keupayaan Kepintaran Kontekstual bagi mengaplikasikan pengetahuan dan kompetensi yang dimiliki serta menghasilkan penyelesaian di luar rutin kebiasaan.

“Keupayaan Kepintaran Teknologi ini perlu dipertingkatkan dengan mengaplikasi serta memaksimumkan penggunaan teknologi sedia ada bagi menghasilkan nilai tambah dalam penyampaian perkhidmatan.

“Contoh kejayaan perkhidmatan digital yang terbaik adalah penggunaan aplikasi MySejahtera ketika penularan Covid-19 yang meletakkan negara kita sebagai negara Asia Tenggara pertama menggunakan aplikasi digital dalam mengurus tadbir pandemik sehingga menempatkan kita pada kelompok tertinggi iaitu ke 47 daripada 193 negara dalam Indeks Pembangunan Kerajaan Elektronik (GDI),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-18 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah.

Menurut Ismail Sabri, kerajaan sedar dalam era Revolusi Industri 4.0, keperluan perkhidmatan melalui medium digital amat kritikal dan inisiatif Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) telah menyaksikan pelaksanaan perkhidmatan kerajaan secara End to End (E2E) telah melepasi tahap 68 peratus.

Ujar beliau, inisiatif pendigitalan E2E antaranya MyOnline Pasport bagi pembaharuan pasport, Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) bagi permohonan penggajian pekerja asing dan i-Citra bagi permohonan pengeluaran caruman KWSP telah memberikan banyak manfaat kepada Keluarga Malaysia.

“Saya berpandangan, Inisiatif Projek Meningkatkan Norma Baharu Penyampaian Perkhidmatan Awam (NBPPA) berupaya mempercepat dan mempermudahkan Keluarga Malaysia serta komuniti perniagaan berurusan dengan agensi Kerajaan secara digital.

“Inisiatif ini perlu diperluaskan dan disambut oleh agensi kerajaan supaya perkhidmatan E2E kerajaan dapat mencapai 100 peratus berbanding sasaran asal 80 peratus menjelang tahun 2025.

“Bagi merealisasikannya, perubahan dasar, perundangan dan prosedur standard bagi menyokong penggunaan teknologi baharu seperti automasi proses robotik (RPA) dan kepintaran buatan (AI) perlu diintegrasikan dengan sistem sedia ada,” katanya.

Justeru, beliau menyarankan agar satu piawaian pendigitalan penyampaian perkhidmatan yang seragam diwujud dan dilaksanakan merentasi pelbagai kementerian dan agensi. – MalaysiaGazette