Gambar hiasan seorang pemandu e-hailing sedang membawa penumpang.

KUALA LUMPUR – Syarikat pengendali e-hailing yang gagal mematuhi kriteria bagi memperbaharui lesen perniagaan pengantaraan (LPP) seperti yang termaktub di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (Akta 715) akan dikenakan tindakan undang-undang.

Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan berkata, sehingga kini syarikat berkenaan didapati gagal memaparkan Permit Kenderaan E-hailing (eVP) pemandu.

Syarikat berkenaan juga gagal untuk membenarkan penumpang mengenal pasti pemandu mereka menerusi aplikasi perkhidmatannya sepertimana yang ditetapkan di bawah Seksyen 12A(8) Akta 715.

“Ini merupakan pelanggaran serius terhadap pematuhan yang diperlukan terhadap keselamatan dan perlindungan penumpang apabila menggunakan mana-mana aplikasi e-hailing.

“Oleh yang demikian, syarikat terbabit tidak dibenarkan memperbaharui LPP mereka yang telah pun luput pada 14 Julai 2022,” katanya.

Sementara itu, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) yang
bertanggungjawab mengeluarkan LPP kepada syarikat e-hailing telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada syarikat tersebut pada 18 Ogos 2022.

Individu yang mengendalikan perkhidmatan e-hailing tanpa LPP yang sah boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kementerian Pengangkutan menasihatkan pemandu yang menggunakan aplikasi sedemikian supaya menyemak terlebih dahulu kesahihan pengendali e-hailing untuk mengelakkan sebarang liabiliti yang tidak diingini. – MalaysiaGazette