KUALA LUMPUR – Harga minyak mentah dijangka mengalami pelarasan bermula 2023 tetapi akan kembali normal ke paras seperti sebelum pandemik, kata Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.
Beliau berkata kumpulan itu mengambil pendekatan berhati-hati dengan harga minyak mentah semasa dan menyatakan bahawa harga tinggi ketika ini adalah disebabkan oleh kekurangan pelaburan dalam tempoh lima tahun lepas.
“Kitaran industri akan bermula. Akan ada pelarasan. Pada masa ini, apa yang kita lihat peningkatan harga minyak itu adalah berikutan kurangnya pelaburan dalam tempoh lima tahun lepas. Orang memberikan reaksi dan kembali kepada kitaran pelaburan.
“Selepas dua atau tiga tahun tanpa keputusan pelaburan akhir (FID) dalam sektor tenaga, kita melihat ia sekarang meningkat kembali kepada kapasiti 470 juta tan metrik,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman prestasi kewangan separuh pertama Petronas berakhir 30 Jun, 2022, di sini, hari ini.
Baru-baru ini, Menteri Tenaga Arab Saudi Prince Abdulaziz bin Salman berkata kemeruapan “melampau” dan kekurangan kecairan bermakna pasaran niaga hadapan minyak semakin terputus daripada asas dan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum serta sekutunya (OPEC+) mungkin terpaksa mengurangkan pengeluaran.
Pada masa ini, harga minyak mentah Brent susut 2.5 peratus kepada US$102.50 setong.
Ditanya sama ada Petronas akan menimbang untuk merundingkan semula tender dengan vendornya, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan Petronas Datuk Adif Zulkifli berkata kumpulan itu sedang mengadakan rundingan semula dengan vendornya bagi mencari penyelesaian peningkatan kos input.
Beliau berkata kos penggerudian melonjak dengan ketara sebanyak 200 peratus pada beberapa kadar harian. – BERNAMA