KUALA LUMPUR – Bulan September pastinya cukup mendebarkan apatah lagi tiga kes rasuah penyalahgunaan kuasa serta penggubahan wang berprofil tinggi membabitkan pemimpin dan ahli UMNO akan diputuskan bermula esok, 1 September.
Sekitar jam 9.30 pagi esok, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan akan membuat keputusan kes Datin Seri Rosmah yang berdepan dengan dakwaan meminta RM187.5 juta dan menerima rasuah RM6.5 juta.
Rosmah yang juga isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kerana menyeweleng dana SRC International sebanyak RM42 juta, didakwa berhubung projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion.
Bagaimanapun, difahamkan Rosmah hari ini telah memfailkan permohonan di saat akhir supaya Hakim Mohamed Zaini menarik diri daripada mendengar atau membuat keputusan berhubung kes itu.
Permohonan itu difailkan atas alasan tular di media massa dan elektronik pada 26 Ogos lepas berkenaan berlakunya kebocoran keputusan Hakim Mohamed Zaini bagi kes itu yang disediakan oleh pihak lain dan bukannya hakim berkenaan.
Rosmah turut memohon satu perintah bahawa lanjutan penarikan diri oleh hakim itu, kes solar berkenaan hendaklah didengar, dibicarakan semula atau diputuskan oleh hakim Mahkamah Tinggi lain.
Untuk makluman, semalam Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan Rosmah yang mengambil tindakan sivil untuk mencabar pelantikan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam kes rasuah projek solar yang di hadapinya.
Bagaimanapun, selepas kira-kira empat tahun turun naik mahkamah, Rosmah akan mengetahui nasibnya esok kerana Mahkamah Tinggi akan membuat keputusan sama ada menerima atau menolak permohonan, sekali gus memutuskan keputusan kes solar hibrid itu.
Apapun yang berlaku, pastinya bahang dan tumpuan akan terarah kepada Mahkamah Tinggi KL esok
Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
Dalam pada itu, pada hari Jumaat ini pula, keputusan sama ada Ahli Parlimen Kinabatangan (UMNO), Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, akan dilepaskan atau dipanggil membela diri atas tuduhan rasuah RM2.8 juta akan diketahui.
Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob, menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan pihak pendakwaan dan peguam yang mewakili Bung Moktar dan Zizie.
Bung Moktar, 64, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah didakwa atas dua tuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Bung Moktar, mantan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra ketika itu, didakwa menerima rasuah daripada Madhi melalui Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati, antara jam 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.
Bung Moktar juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada Norhaili, di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015, manakala Zizie Izette, 44, mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.
Pada hari Isnin, 5 September pula, Mahkamah Rayuan akan membuat keputusan permohonan bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim bagi membatalkan 13 tuduhan menerima rasuah dan pengubahan wang haram dihadapinya.
Sepatutnya pada 26 Ogos lepas, tiga panel hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said bersama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali menangguhkan pada 5 September depan selepas pembelaan memaklumkan Abdul Azeez tidak dapat hadir ke mahkamah kerana sedang menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Kamaludin bagaimanapun ketika itu berkata, pihaknya tidak mempertikai tahap kesihatan bekas Pengerusi Tabung Haji itu namun berharap proses mahkamah tidak disalah guna.
Pada 12 Mac tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Abdul Azeez bagi membatalkan kes sama.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas mendapati, pertuduhan yang dikenakan terhadap Abdul Azeez tidak cacat.
Muhammad Jamil dalam penghakimannya, berkata mahkamah juga mendapati alasan permohonan Abdul Azeez tidak bermerit, manakala tertuduh gagal menunjukkan pendakwaan terhadapnya adalah bersifat mala fide (berniat jahat).
Abdul Azeez, 54, yang juga Ahli Parlimen Baling (UMNO) menghadapi tiga tuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram mencecah jutaan ringgit.
Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 serta dibaca bersama seksyen 16(a)(A) dan seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda. – MalaysiaGazette