Low Taek Jho atau Jho Low didakwa berada di Shanghai.

KUALA LUMPUR – Walaupun sudah beberapa kali China menafikan dakwaan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low berada di negaranya, namun dakwaan terbaharu mengatakan lelaki itu berada di Shanghai.

Wartawan Tom Wringht dan Bradley Hope dari Amerika Syarikat (AS) mendakwa, ada pihak pernah ternampak Jho Low bersama keluarganya iaitu isteri dan dua orang anaknya di Disneyland, Shanghai sekitar Disember 2019.

Dakwaan ini didedahkan selepas seminggu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib  Razak yang dikaitkan dengan kes dana SRC International dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dipenjara.

Jho Low merupakan antara dalang utama di sebalik kedua-dua kes ini.

Dalam entri terbaru Wright dan Hope menerusi YouTube,  mereka mendakwa, lebih banyak maklumat yang telah diterima oleh pihaknya tentang keberadaan Jho Low di China sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Wartawan Tom Wright dan Bradley Hope dalam rancangan khas mereka ‘The Whale Hunting, Search For Jho Low’ enam jam lepas di YouTube.

“Sungguh mengecewakan, kita sedang memburu seorang individu yang disifatkan sebagai dalang skandal, penyewelengan dana terbesar, penggubahan wang haram, anda sebut sahaja.

“Anda semua fikir lelaki ini sedang bersembunyi seperti James Bond di satu tempat tersembunyi, hakikatnya itu tidak betul kerana Jho Low ini sebenarnya lebih banyak berkeliaran di pusat beli belah, bercuti di Disneyland Shanghai. Lelaki ini mempunyai begitu banyak telefon.

“Kita ada merakamkan gambar-gambar tentang Jho Low,” kata Hope dalam laman sosial mereka.

Dalam pada itu, kedua-dua wartawan ini juga mendakwa ada kemungkin Jho Low sudah ditahan di China kerana ada risiko membocorkan maklumat tertentu yang memalukan China dalam projek tertentu.

Dakwa kedua-dua wartawan ini, Jho Low mempunyai kehidupan ‘pelik’ kerana boleh menjalani kehidupan biasanya namun pada masa sama mampu berunding mencari penyelesaian berkait dirinya yang sedang dalam buruan.

Untuk makluman, sebelum ini Jho Low pernah membuat kejutan apabila menawarkan penyelesaian RM1.5 bilion kepada kerajaan berkaitan skandal 1MDB yang dikaitkan dengannya.

Jho Low yang didakwa menyeleweng wang 1MDB, berdepan saman AS$3.78 bilion (kira-kira RM15.85 bilion) yang difailkan oleh 1MDB dan empat anak syarikatnya.

Jho Low dipercayai diwakili Tan Sri Mohamed Apandi Ali dalam rundingannya dengan Malaysia yang bagaimanapun tidak berjaya selepas kerajaan menolak tawaran itu.

Dalam pada itu, Wright dan Hope berikrar akan terus mendedahkan lebih banyak kebenaran berkaitan Jho Low pada masa yang akan datang.

Terutamanya tentang persoalan siapakah yang membantunya sebelum ini, selain peranan lelaki itu dengan geopolitik China. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.