Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran mahu rakyat terus menghayati keharmonian dan perpaduan yang sudah lama terbina sejak enam dekad lalu.

KUALA LUMPUR – Tan Sri SA Vigneswaran melahirkan harapan besar agar perpaduan antara kaum yang menjadi kunci keharmonian, kemakmuran dan kesejahteraan negara ini terus kekal bersemat di jiwa rakyat.

Presiden MIC itu berkata, ketika negara melalui pelbagai cabaran, yang ada kalanya timbul pelbagai fitnah yang mampu menggangu gugat atau memecahbelahkan perpaduan rakyat hingga menjejaskan keharmonian negara.

Lantaran itu, rakyat perlu kuat melaluinya.

Katanya, 31 Ogos hari ini juga bermakna sudah 65 tahun masyarakat berbilang kaum di negara ini sudah mengecapi nikmat kemerdekaan dan kesejahteraan hidup berteraskan ikatan perpaduan dipupuk berdekad lamanya.

Bercakap dengan MalaysiaGazette sebentar tadi, kata Vigneswaran, sambutan kemerdekaan kali ini sungguh besar maknannya kepada rakyat selepas kita mengharungi pandemik Covid-19 lebih dua tahun.

S.A Vigneswaran

“Harapan saya,  kita semua kekal hidup bersatu, kekal harmoni di bawah satu bumbung di negara tercinta, Malaysia, tanah tumpahnya darah kita. Keharmonian ini bukan sehari dua sebaliknya lebih 65 tahun, kita harus cekal, kuat bagi terus memastikan perpaduan ini sentiasa kekal.

“Ini juga amat bersesuaian dengan tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini iaitu ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’. Semoga kita dapat memelihara serta pertahankan keharmonian yang telah sekian lama terbina dalam kalangan kita selama ini,” katanya.

Tambahnya, dalam seluruh rakyat bergembira menyambut hari kemerdekaan negara, janganlah sesekali lupa kepada para pejuang negara yang telah membebaskan tanah air daripada belenggu penjajah. – MalaysiaGazette