Pekerja membawa beberapa roti yang telah siap diproses di Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd, Puchong Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 25 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Gardenia Bekeries (KL), pengeluar jenama roti popular, Gardenia diminta membatal atau menangguhkan kenaikan harga produknya mulai Khamis ini.

Naib Presiden Parti Bangsa Malaysia, Dr Shatish Kumar berkata, ini kerana ramai rakyat Malaysia akan terjejas, terutamanya dengan inflasi global
yang disebabkan oleh perang di Ukraine dan gangguan dalam rangkaian bekalan dunia.

Walaupun ekonomi kita telah dibuka semula berikutan sekatan awal yang dikenakan untuk membendung penularan Covid-19, ia masih belum pulih dengan
sepenuhnya.

Impak pemulihan ekonomi juga belum sampai sepenuhnya ke kumpulan B40 dan juga M40, dengan erti kata lain, menaikkan harga roti pada ketika ini hanya akan membebankan rakyat, terutamanya mereka dalam dua kohort ini.

”PBM bimbang cadangan kenaikan itu akan membawa kepada kesan domino dalam harga barangan dan perkhidmatan lain. Ada juga kemungkinan jenama pesaing juga akan mengambil peluang untuk menaikkan harga produk mereka,” katanya.

Shatish berkata, walaupun keputusan untuk menaikkan harga roti itu disebabkan kenaikan harga bahan mentah, PBM juga sedar pengeluar roti
itu merupakan anak syarikat salah satu konglomerat terbesar di negara ini.

Oleh itu, syarikat ini akan tentu dapat menyerap sebarang kejutan kewangan dengan lebih baik berbanding perniagaan yang lebih kecil.

Justeru, PBM menyeru pengeluar roti Gardenia untuk tidak membuat sebarang keputusan berdasarkan pertimbangan kewangan semata-mata.

”Pada peringkat ini, syarikat ini harus dalam semangat “Keluarga Malaysia” menjiwai warga korporat yang prihatin dengan menyerap kenaikan kos dan
menangguhkan keputusan untuk menaikkan harga ke masa yang lebih kondusif.

Gesaan PBM ini, ujarnya, turut mengambil kira kenaikan kedua kali dalam setahun selepas 1 Disember 2021.

Lantaran itu, kenaikan kali ini adalah tidak perlu. – MalaysiaGazette