Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama jemaah menteri yang lain mengibarkan bendera Jalur Gemilang pada Majlis Sambutan Ambang Merdeka di Anjung Floria, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 30 OGOS 2022.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meluangkan masa bersama rakyat dalam majlis sambutan Ambang Merdeka di Anjung Floria Presint 4 di sini malam tadi.

Program sambutan anjuran Perbadanan Putrajaya (PP) dengan sokongan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) itu sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan 2022 dan penganjuran Pesta Bunga & Taman Floria Diraja Putrajaya 2022.

Turut hadir pada program tersebut ialah Menteri Wilayah Persekutuan,
Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan timbalannya, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Orang ramai mengibarkan bendera Jalur Gemilang bagi memeriahkan Majlis Sambutan Ambang Merdeka di Anjung Floria, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 30 OGOS 2022.

Program yang bermula pukul 9 malam itu menampilkan barisan artis popular antaranya Ella, Haqiem Rusli, Afiq Shazwan, Ameng Spring, Man Bai, Datuk Nash, Amir Masdi dan Ayu Damit diiringi Kombo PrecinctNotes Perbadanan Putrajaya.

Selain itu, sambutan turut dimeriahkan dengan persembahan tarian kebudayaan daripada Dance Art Geniuses dan Rai’e Dance Group.

Acara kemuncak sambutan ialah laungan merdeka sebanyak tujuh kali tepat pukul 12 tengah malam diikuti bunga api dan nyanyian lagu Negaraku. – MalaysiaGazette