KUALA LUMPUR – Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan sambutan Ambang Merdeka ke-65 Patriotisme@PUTRA peringkat universiti bersama komuniti setempat dan
warga kampus bagi memupuk semangat patriotik dalam kalangan pelajar dan warga pusat pengajian tinggi itu.
Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata, tanggal 31 Ogos adalah tarikh bersejarah yang perlu dihayati sepenuhnya oleh warga kampus dan pelajar bagi memupuk jati diri dalam menyemarakkan semangat kemerdekaan.
”Sambutan ini juga dapat mengeratkan pelajar bersama warga UPM dan komuniti setempat untuk mewujudkan rasa kekitaan dan kerja berpasukan serta mengeratkan perpaduan di semua peringkat seiring dengan hasrat UPM menjadikan pelajar UPM yang memiliki sosok warganegara yang baik sepertimana ditekankan dalam Naratif Naib Canselor 2022,” katanya.
Yang Dipertua (YDP) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 2021/2022, Mohammad Haziq Zikri Zainuri berkata, sambutan Ambang Merdeka Peringkat Universiti adalah acara yang dinantikan oleh pelajar UPM kerana kekangan pandemik Covid-19 sebelum ini.
”Saya yakin ini merupakan pengalaman yang sangat bernilai untuk kami para pelajar kerana dapat bersama-sama merasai sambutan kemerdekaan di UPM sekali gus menzahirkan sikap kebersamaan kami pelajar bersama pegawai-pegawai universiti,” katanya.
Tambah beliau, sambutan ini juga akan menjadi lebih menarik apabila pemimpin-pemimpin pelajar turut serta dalam menguruskan perjalanan majlis, melakukan persembahan dan secara langsung menjadi peserta pada malam akan datang ini.
Program ini memberi peluang kepada pelajar untuk memperkukuhkan semangat setia negara dan program ini adalah platform terbaik untuk mengeratkan perpaduan antara kaum dan warga UPM.
Antara aktiviti yang dilaksanakan bagi memeriahkan sambutan ini antaranya persembahan kemerdekaan oleh pelajar dan staf UPM, Perbarisan Badan Beruniform, Laungan Merdeka serta Bacaan Ikrar Rukun Negara.
Selain itu, sepanjang sambutan Bulan Kebangsaan, UPM turut menganjurkan beberapa program termasuk di peringkat kementerian seperti program Bicara Kenegaraan 2022 dengan kerjasama Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) yang akan dilaksanakan pada 8 September akan datang. – MalaysiaGazette