Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari berucap pada majlis perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia ke-68 di Raia Hotel, Alor Setar, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 01 SEPTEMBER 2022.

ALOR SETAR – Pas Pusat perlu memuktamadkan dengan segera yang mana satu seteru dan lawan parti Islam itu sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ia bagi memastikan pembahagian kerusi dan penentuan calon dapat dilakukan dengan tepat dan tidak merugikan parti itu akibat pertembungan sesama sendiri.

“Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPMM) ingin kepada satu panduan jelas dan segera diturunkan kepada jentera, bersama pengarahan taktikal berstrategi untuk menghadapi pilihan raya.

“Pas sudah tentu perlu memuktamadkan soal pembahagian kerusi dan penentuan calon kerana PRU15 semakin hampir. Biar jelas siapa yang boleh dihadap, siapa yang boleh dibuat kawan. Jangan nanti tabuh berbunyi, baru keris mahu diasap, baru tanjak mahu dicari.

“Gelanggang telah lama ditari oleh musuh, rentak dan gendang sudah lama beraksi, anak muda kita sedang menunggu arahan pimpinan,” katanya semasa menyampaikan ucaptama Muktamar DPPM ke-63 di Pusat Konvensyen Raia Hotel, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Pas perlu mengambil iktibar daripada pentadbiran pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), bermula dengan pemerintahan gabungan Pakatan Harapan (PH) yang telah memenangi pilihan raya pada 2018.

“Di bawah pentadbiran kerajaan PH, rakyat merasai keresahan dan kegusaran, keraguan dan ketidakstabilan, kelemahan urus tadbir dan pergolakan politik yang tidak berkesudahan.

“Akhirnya membawa kepada pertukaran pentadbiran negara,” katanya.

Ahmad Fadhli berkata, berbanding dengan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, rakyat merasai keprihatinan negara dalam meringankan beban rakyat dalam menghadapi suasana pandemik Covid-19.

“Gagasan Keluarga Malaysia pula yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membawa rakyat untuk bersolidariti dalam memfokuskan kepada pemulihan negara pasca pandemik Covid-19,” katanya.

Katanya lagi, Pas adalah salah satu komponen terpenting di dalam kedua-dua pentadbiran kerajaan campuran pasca kejatuhan Kerajaan PH dan kini terbukti parti Islam itu mampu mentadbir negara.

“Hingga kini, jasa Pas dalam menstabilkan kerajaan sedia ada ke arah kestabilan dan kesejahteraan negara, sukar disanggah pihak lawan dan kawan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette