Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin bercakap pada sidang media . Foto AFFAN FAUZI, 01 SEPTEMBER 2022.

PUTRAJAYA – “Kalau dia tahu Jho Low di mana kenapa  tidak beritahu kita?, demikian kata Menteri Dalam Negeri ketika diminta mengulas dakwaan penulis antarabangsa yang mendakwa Jho Low berada di Shanghai, China.

Walau bagaimanapun, Datuk Seri Hamzah Zainudin tidak mengulas lanjut mengenai pendedahan Bradley Hope dan Tom Wright.

Hope dan Tom Wright menerusi pendedahan mereka semalam berkongsi sekeping gambar memaparkan Jho Low bersama dua individu tidak dikenali di sebuah restoran di Disneyland Shanghai yang didakwa diambil pada malam Krismas, tahun 2019.

Penulis berkenaan mendakwa menerima gambar daripada sumber yang boleh dipercayai.

Untuk rekod, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 4 Disember 2018  mengeluarkan waran tangkap terhadap Jho Low bagi membantu siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sejak itu, pelbagai usaha dilakukan oleh pihak berkuasa Malaysia untuk membawa beliau pulang namun sehingga kini Jho Low tidak dapat dikesan.

Jho Low bukan sahaja dikehendaki oleh pihak berkuasa bagi membantu siasatan dalam kes penyelewengan dana 1MDB tetapi juga merupakan saksi penting dalam perbicaraan yang membabitkan Datuk Seri Najib Razak.

Sementara itu, Hamzah enggan melayan dakwaan yang mengatakan nama Najib belum direkodkan dalam pangkalan data penjara.

“Selama ini awak tahu ke database? Kata pasal dakwaan surat layang usahlah kita dengar,” katanya lagi.

Untuk rekod, Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lalu mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada bekas Perdana Menteri itu yang disabitkan bersalah menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd. – MalaysiaGazette

Jho Low bersama isteri dan anak di China?