Perwakilan Pemuda PAS Terengganu, Mohd Riduan Abu Bakar memberi ucapan perbahasan pada majlis perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia ke-63 di Raia Hotel, Alor Setar, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 01 SEPTEMBER 2022.

ALOR SETAR – Pas telah berjaya memberikan contoh terbaik sebagai sebuah kerajaan selepas menguasai beberapa buah negeri.

Setiausaha Dewan Pemuda Pas Terengganu Mohd. Riduan Abu Bakar berkata, Pas sebagai kerajaan telah berjaya membuktikan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa parti itu mempunyai integriti ketika mentadbir negeri.

“Di Kelantan selepas hampir 40 tahun pemerintahan kita membuktikan ketelusan sebagai kerajaan negeri.

“Di Terengganu kita telah menunaikan 90 peratus janji manifesto walaupun ada yang mengatakan manifesto bukan kitab suci.

“Di Kedah kita mendapat pelabur tertinggi dalam negara walaupun kita memerintah hanya dua tahun,” kata Mohd. Riduan.

Beliau berkata demikian dalam Perbahasan Ucaptama Ketua Pemuda sempena Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia ke-63 malam ini.

Antara perwakilan Pas yang hadir pada Majlis Perasmian Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia ke-63 di Raia Hotel, Alor Setar, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 01 SEPTEMBER 2022.

Mohd. Riduan yang menjadi wakil pembahas Terengganu berkata, kejayaan yang dicapai Pas sebagai kerajaan negeri merupakan anugerah daripada Allah.

Ini berikutan kesungguhan kepimpinan Pas dan keikhlasan ahli yang tidak mengharapkan habuan walaupun parti itu memerintah.

“Hari ini Allah memberikan Pas dengan kemenangan. Alhamdullilah beberapa buah kerajaan negeri pada PRU-14 diberikan kemenangan oleh Allah.

“Alhamdullilah, Pas telah membuktikan kepada seluruh rakyat Malysia bahawa Pas adalah sebuah kerajaan yang berintegriti tinggi,” katanya.

Justeru, katanya penting untuk Pas sebagai Kerajaan untuk terus melaksanakan syariah dan menjadikan Islam sebagai matlamat utama.

Pas juga diingatkan supaya tidak melupakan jati diri Islam walaupun sibuk menguruskan pemerintahan.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast