Gopal Sri Ram

KUALA LUMPUR – Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram mendakwa Datin Seri Rosmah Mansor begitu bergantung dengan ‘dokumen bocor’ yang disiarkan dalam portal berita oleh Raja Petra Kamaruddin bagi menyokong permohonannya meminta hakim mendengar dan menghakimi kes rasuahnya menarik diri.

Hujah Sri Ram, hakikatnya Raja Petra merupakan seorang yang tidak mempunyai kredbiliti dan hidup dalam persembunyian sambil menulis ‘sampah’ dengan menerima bayaran lumayan daripada mana-mana pihak.

Sri Ram mendakwa, Raja Petra yang dipercayai sedang bersembunyi di United Kingdom ketika ini akan menulis untuk sesiapa sahaja yang membayarnya lebih.

“Mengapa perlu Rosmah bergantung dengan dokumen ‘bocor’ ini? Sebenarnya Rosmah tidak sepatutnya mempersoalkan atau menyerang kredibiliti hakim bicara yang berpengalaman.

“Walaupun ada yang dipersetujui oleh hakim dalam draf penghakiman tersebut, tidak bermakna hakim tidak mempunyai wibawa, persoalan kononnya beliau tidak bebas dan boleh dipengaruhi adalah sesuatu yang tidak wajar sama sekali,” hujahnya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan sebentar tadi.

Sri Ram merujuk laporan portal bertajuk ‘Rosmah Mansor Will Be Pronounced Guilty On 1st September 2022′dan ‘Download Or View The 71-Page Judgement And Guilty Verdict On Rosmah Mansor Here‘ yang disiarkan pada 26 Ogos lalu.

Dokumen itu juga tular sejak minggu lepas.

Untuk makluman, Rosmah yang juga isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah memfailkan permohonan pada saat-saat akhir untuk menangguhkan keputusan akhir kesnya selepas tindakan sivil mencabar pelantikan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan gagal pada Selasa lepas.

Dalam afidavit yang difailkan, Rosmah menyoal integriti Mohamed Zaini ekoran insiden pembocoran dokumen penghakiman yang disiarkan oleh portal MalaysiaToday milik Raja Petra.

Hakim Mohamed Zaini akan menyampaikan keputusan permohonan itu petang ini. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast