ALOR SETAR – Dewan Ulamak Pas berusaha menjadi penyelamat hubungan antara parti itu dengan UMNO.
Sayap Pas yang menghimpunkan golongan ulama hari ini meluluskan usul memperbaiki hubungan dengan UMNO untuk dibawa ke Muktamar Tahunan Pas ke-68 bagi dibahaskan oleh perwakilan selama dua hari bermula esok.
Wakil Kelantan, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail yang membentangkan usul itu pada Muktamar Dewan Ulamak Pas hari ini berkata, parti itu tidak akan berputus asa dalam mengajak kembali UMNO untuk bersatu demi umat Islam dan Melayu.
“Inilah kita tegaskan supaya kita terima parti-parti besar Melayu ini sama ada UMNO, Bersatu dan Pas
“Kita masih tidak berputus asa untuk mengajak rakan kita UMNO dan Barisan Nasional boleh bersama-sama dalam penyatuan ummah yang besar termasuk bukan muslim yang tidak ekstrem,” katanya ketika membentangkan usul tersebut.
Ahli Dewan Undangan Selising itu berkata, Dewan Ulamak Pas mahu menjadi agen penyatuan kedua-dua parti.
Usaha itu juga selaras dengan pendirian Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang.
“Kita jadi agen penyatuan ummah dengan kita selaraskan dengan hasrat presiden kita yang berpendirian macam mana pun orang nak lari, kita tidak akan lari daripada mereka.
“Sekarang ini ada orang lain nak bercerai, tapi kita tidak hendak bercerai.
“Kita tetap kata, kita mahu bersatu, kita cari jalan penyelesaian, itu lebih baik, lebih penting daripada kita membiarkan umat Islam di Malaysia yang sudah banyak parti tiba-tiba berpecah pula, akhirnya melemahkan umat islam itu sendiri,” kata beliau.
Serentak itu beliau menyeru kepada ahli dan pemimpin Pas supaya lupa akan sengketa lama parti itu dengan UMNO.
Sebaliknya mereka disarankan supaya mengamalkan sikap bermaaf-maafan.
“Kita kena beritahu ahli yang biasa nak kenang kembali peristiwa lama, kita tak perlu kenang kembali peristiwa lama ataupun kejahatan-kejahatan orang lain terhadap kita
“Kita tengok masa depan kita umat Islam, masa depan negara kita, orang Melayu dan sebagainya.
“Jadi kita masih mengharapkan UMNO yang mendendangkan lagunya bersatu kita bersatu, dia boleh bersatu dengan kita, iaitu lah yang kita hendak selain penyatuan ini, penyatuan ummah yang besar,” kata Tuan Mohd Saripudin.
Katanya, penyelesaian masalah kedua-dua parti tidak akan selesai jika sikap berdendam terus diamalkan.
Dalam pada itu Tuan Mohd Saripudin berkata, parti itu mahu supaya pertandingan satu lawan satu dilaksanakan dalam Pilihan Raya Umum ke-15.
Pas tidak mahu parti-parti Melayu Islam bertembung sesama sendiri sehingga menguntungkan Pakatan Harapan.
“Strategi satu lawan satu hendaklah dilaksanakan bagi mengelakkan pertembungan sesama sendiri antara parti-parti politik teras Melayu di kawasan-kawasan majoriti pengundi Melayu atau islam.
“Supaya tidak berlaku perpecahan undi yang hanya menguntungkan Pakatan Harapan seterusnya mengukuhkan jumlah majoriti kerusi muslim yang menjadi dambaran majoriti rakyat Malaysia yang diwakili melayu muslim,” katanya.
Usul yang dibentangkan oleh Tuan Mohd Saripudin kemudiannya disokong oleh Perwakilan Indera Putera Nasruddin Hassan Tantawi dan diterima sebulat suara oleh perwakilan tanpa dibahaskan.-MalaysiaGazette