Mustapa Mohamed

KOTA TINGGI – Isu kelewatan yang dihadapi 16 lokaliti Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) Fasa Pertama akan diselesaikan minggu depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, masalah tersebut akan diselesaikan sebelum bermulanya Fasa Dua BMTKM pada pertengahan bulan ini.

Beliau berkata, baki 64 lokaliti BMTKM Fasa Pertama melibatkan 2,200 Ketua Isi Rumah (KIR) berjalan lancar dan kini dalam proses latihan dan kursus berkaitan termasuk memasak, menjahit dan berniaga.

“Terdapat 16 lokaliti mengalami masalah daripada segi cadangan projek kurang sesuai, kos yang tidak berbaloi dan memakan masa yang lama contohnya ada yang mahu menanam kelapa sawit, ia tidak sesuai kerana memakan masa empat hingga lima tahun baru dapat hasil.

“Berbanding jika mereka melaksanakan perniagaan gunting rambut, kita bagi peralatan menggunting termasuk kerusi, esok lusa akan dapat pendapatan,” katanya pada sidang media selepas mendengar taklimat dan lawatan BMTKM di Tanjung Sedili di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi.

Mustapa berkata, sehingga 15 Ogos lepas, sebanyak 134,853 KIR miskin tegar direkodkan di negara ini dan kerajaan menyasarkan peserta yang terlibat dalam program BMTKM dapat keluar daripada kelompok kemiskinan menjelang akhir 2025.

“Pengalaman dalam melaksanakan BMTKM Fasa Pertama akan digunakan untuk menambah baik setiap aspek program ini bagi memastikan pelaksanaannya mencapai objektif yang telah ditetapkan.

“Ini termasuk dipantau dengan rapi setiap bulan oleh Pegawai daerah, Ketua Kampung dan Ahli Parlimen, berbeza dengan sebelum ini, mungkin pemantauannya kurang,” katanya.

Mustapa berkata, pelaksanaan BMTKM Fasa Pertama yang melibatkan 80 lokaliti rintis dan kira-kira 2,500 KIR, telahpun bermula pada Jun 2022, manakala Fasa Dua BMKTM melibatkan 100 lokaliti membabitkan seramai 5,000 KIR miskin tegar di seluruh negara.

Tambahnya, sebanyak 15 lokaliti baharu di Sabah, 15 lokaliti baharu di Sarawak dan 10 lokaliti baharu di Kelantan akan dimasukkan dalam program BMTKM Fasa Dua ini.

Matlamat BMTKM adalah untuk mencapai kemiskinan tegar sifar pada akhir 2025, seperti ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12). – Bernama