Mohammad Sabri (tengah) pada sidang media rampasan minuman keras elak cukai di Kompleks Kastam Kelana Jaya, hari ini.

PETALING JAYA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit Satu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) berjaya mematahkan sindiket penyeludupan minuman keras rentas sempadan.

Kejayaan itu direkodkan dengan penahanan dua kontena dan dua wakil ejen penghantaran, masing-masing dalam rampasan berasingan di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang.

Menurut Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) Zon Tengah, Mohammad Sabri Saad, rampasan dua kontena mengandungi minuman keras pelbagai jenama itu hasil risikan Pasukan Operasi Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah Unit Satu WPKL.

Katanya, anggaran keseluruhan nilai cukai rampasan itu RM1.560 juta, melibatkan duit import sebanyak RM1.224 juta.

“Untuk kes pertama, kita telah menahan satu kontena pada 23 Ogos lalu hasil risikan Pasukan Operasi Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah Unit Satu WPKL dan menyita satu kontena bersaiz 40 kaki serta seorang ejen penghantaraan di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang.

“Hasil pemeriksaan ke atas kontena itu bersama ejen penghantaran, menemukan sejumlah besar minuman keras disyaki barang larangan.

“Setiap kontena yang diimport memerlukan lesen import dan setem cukai,” katanya dalam sidang media di Kompleks Kastam di Kelana Jaya, di sini, hari ini.

Menurut beliau, minuman keras itu merupakan barangan larangan di bawah Butiran 3 Jadual Ketiga, Bahagian 2 Perintah Kastam Larangan Mengimport 2017.

Katanya, rampasan melibatkan 25,920 liter dengan anggaran nilai sebanyak RM207,360 membabitkan jumlah cukai duti RM710,730 iaitu nilai cukai atau duit yang terlibat.

Bagi kes kedua, kata beliau, pihaknya menyita satu kontena pada 25 Ogos lalu di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang.

“Hasil siasatan bersama ejen penghantaran, kita menemukan minuman keras pelbagai jenama sebanyak 16,710.66 liter dengan anggaran nilai RM127,450 membabitkan jumlah duti dan cukai yang terlibat berjumlah RM513,684,” katanya.

Mengenai modul operandi sindiket itu, Mohammad Sabri berkata, berdasarkan maklumat dalam Borang Kastam 1, dalam kes itu kontena yang sampai itu telah diikrar melalui borang berkenaan, manakala dagangan itu dipercayai dibawa daripada dari Asia Timur.

“Kalau kita tengok pada dokumen, kita syaki ianya daripada Asia Timur dan modul operandi ini dipercayai sedang giat dilakukan terhadap kontena yang memasuki pintu Pelabuhan negara,” katanya. – MalaysiaGazette