Shahrir Samad Majlis Peguam SPRM LHDN
Shahrir Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad mempersoalkan kenapa Tan Sri Annuar Musa menimbulkan soal pengasingan kuasa ekoran kenyataan Ahli Parlimen Pangerang, Datuk Seri Azalina Othman Said baru-baru ini.

Katanya, beliau sendiri hadir dalam Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra baru-baru ini dan Azalina hanya bertanya mengapa Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun masih dikekalkan.

“Sedangkan, kata Azalina, Perdana Menteri sudah berubah dari Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Adakah menyentuh Peguam Negara bermakna tidak hormati konsep pengasingan kuasa? Salah itu,” katanya menerusi hantaran Facebooknya.

Beliau turut memetik beberapa bahagian dalam Perlembagaan Negara untuk pengetahuan Annuar.

Bahagian IX khusus bab kehakiman atau judiciary. Dalam Bahagian IX (Perkara 121 hingga 131A) tidak sebut pun pasal Peguam Negara.

‘Peguam Negara’ ada perkaranya sendiri. Perkara 145. Dalam Bahagian X mengenai Perkhidmatan Awam atau public services.

Oleh itu, kata Shahrir, Peguam Negara bukan sebahagian judiciary.

“Dia ini (Peguam Negara) dalam perkhidmatan awam. Tugas perkhidmatan awam ialah untuk melaksanakan dasar eksekutif. Kesimpulannya, menyoal pasal pengisian jawatan Peguam Negara tidak langsung menyentuh konsep pengasingan kuasa.

“Bahkan sumpah jawatan pun kata akan pertahankan Perlembagaan. Jadi takkan tak paham?” soal beliau.

Annuar Rabu lalu dilaporkan berkata, kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Ismail Sabri kekal istiqamah mengutamakan soal integriti dan mematuhi setiap prinsip pengasingan kuasa serta menjaga aspirasi dan harapan rakyat dalam setiap dasar kerajaan.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia menegaskan, setiap keputusan serta dasar kerajaan mesti mengikut jalur peraturan dan keluhuran undang-undang.

Katanya, segala syor atau cadangan bersifat menjaga kepentingan kumpulan atau puak hanya sekadar pandangan peribadi atau polemik politik. – MalaysiaGazette