SIK – Pertembungan tiga penjuru membabitkan Perikatan Nasional dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) hanya akan membawa kemenangan buat Pakatan Harapan (PH).
Kata beliau, ia terbukti dalam PRU-14 apabila beberapa kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan pengundi Melayu menjadi milik PH akibat pertembungan tiga penjuru.
“Untuk pilihan raya kita ada kerusi dan beberapa negeri yang berlaku pertembungan sesama PN, BN yang akhirnya kerusi itu dimenangi oleh PH.
“Setakat ini, kita kenal pasti 27 kerusi Parlimen dan beberapa kerusi DUN yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru dan kita akan duduk bincang bagi mendapatkan satu kata putus agar kerusi itu tidak dimenangi PH,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Dewan Muslimat Pas di Dewan Al-Hana di sini hari ini.
Bagaimanapun, Tuan Ibrahim menegaskan, PN bersedia untuk sebarang kemungkinan sekiranya UMNO mahu bergerak secara solo.
“Jika UMNO ready (sedia) untuk solo jadi PN pun sedia lawan tiga penjuru tapi terus terang saya sebut ia merugikan. BN rugi kita (PN) pun rugi, yang menang jadi abu yang kalah jadi arang.
“Jadi tentulah kita nak kerusi-kerusi macam ini dibincang secara logiknya.
“Contohnya, Parlimen Raub dan Bentong di Pahang yang menjadi kemenangan PH merupakan kawasan pengundi melayu,” tegasnya.
Sementara itu, ketika diminta mengulas sama ada Pas akan mengadakan perjumpaan dengan UMNO bagi membincangkan isu pembahagian kerusi, Tuan Ibrahim bagaimanapun enggan memberi kata putus.
“Buat masa ini biarlah mereka selesaikan urusan mahkamah yang sedang berjalan dan sebagainya. Kita bagi ruang. Saya fikir kalau jumpa pun kita tidak perlu publisiti,” ujarnya. – MalaysiaGazette