Ketua Dewan Ulama Pas Senator Datuk Ahmad Yahaya dan Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin ketika hadir ke majlis perasmian Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Malaysia ke-61 di Dewan Serbaguna Guar Chempedak, Kedah. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 02 SEPTEMBER 2022.

ALOR SETAR – Dewan Ulama Pas mencadangkan kerajaan melarang mana-mana individu yang sedang berdepan perbicaraan mahkamah dalam kes salah laku, penyelewengan dan rasuah bertanding dalam pilihan raya umum (PRU).

Menurut Ketua Dewan Ulama Pas Senator Datuk Ahmad Yahaya, usul itu bertujuan mengelakkan mereka yang yang terpalit kes mahkamah akan menggunakan kedudukan mereka daripada dikenakan tindakan.

“Mereka yang sedang dalam perbicaraan mahkamah dalam kes salah laku, penyelewengan dan rasuah juga tidak wajar diberi peluang untuk bertanding kerana kita bimbang mereka akan menggunakan kedudukan untuk mengelak daripada dikenakan tindakan.

“Dalam aspek ini kita mengharapkan agar kes-kes melibatkan rasuah dan salah laku para pemimpin parti politik dapat disegerakan perbicaraannya di mahkamah supaya proses pembersihan pemimpin politik dapat dilakukan dengan efektif.

“Kita semua perlu mengangkat semula maruah demokrasi dalam negara selaras dengan prinsip Islam,” katanya

Dalam ucaptama Muktamar Tahunan Dewan Ulamak Pas Pusat ke-61, Ahmad juga menyarankan mereka yang pernah mengeluarkan kenyataan-kenyataan menggugat keharmonian negara turut tidak dibenarkan bertanding.

Katanya, pindaan Perlembagaan berkenaan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti diluluskan baru-baru ini tidak cukup untuk menjaga integriti calon dan parti bertanding.

“Syarat yang menggugurkan kelayakan seseorang menjadi calon adalah kesalahan bagi hukuman satu tahun ke atas serta denda melebihi RM2,000 atau seseorang itu telah mengisytiharkan kesetiaannya kepada negara lain.

“Perkara ini kelihatan masih longgar tidak sejajar dengan ketegasan yang dipamerkan dalam pindaan Perlembagaan tersebut.

“Beberapa syarat tambahan lain yang wajar diketengahkan bagi menggugurkan kelayakan bertanding bagi seseorang yang pernah mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh menggugat keharmonian negara, serta mempertikaikan hak-hak keistimewaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,’ kata Ahmad.

Sementara itu Ahmad memuji ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang tidak tidak mencampuri urusan institusi kehakiman negara.

Ini termasuk kes-kes berprofil tinggi seperti seorang bekas pemimpin negara telah disabitkan dengan kesalahan menyeleweng dana awam milik SRC International Sdn Bhd sebanyak RM42 juta.

“Dewan Ulamak berpendirian bahawa semua pihak perlu akur menerima keputusan penghakiman tersebut serta menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara.

“Pendirian kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri untuk tidak mencampuri urusan institusi kehakiman negara apatah lagi bagi kes-kes berprofil tinggi sememangnya wajar mendapat pujian.

“Prinsip pengasingan kuasa eksekutif, legislatif dan judisiari perlu terus dipertahan bagi memastikan ketertinggian keadilan yang dijunjung,” katanya.

Dewan Ulamak Pas katanya, mengharapkan agar kes-kes berprofil tinggi melibatkan ahli politik dan wakil rakyat yang lain dapat diadili di hadapan mahkamah sepenuhnya dengan bebas.-MalaysiaGazette