KUALA LUMPUR – Pengumuman Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari untuk membantu rakyat miskin di negeri itu yang tidak mampu memiliki insurans kini akan dilindungi secara percuma dialu-alukan.
Ketua Cabang PKR Hulu Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan berkata, inisiatif itu tepat pada masa ketika keadaan ekonomi tidak menentu pada masa pasca pandemik Covid-19.
“Ada juga pesakit saya mengadu kepada saya bahawa mereka terpaksa membatalkan insurans kerana kekangan kewangan disebabkan oleh kos sara hidup yang semakin meningkat, bilangan keluarga ramai mahupun gaji sedia ada tidak mencukupi,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Dalam pada itu, Dr Sathia Prakash yang juga Timbalan Setiausaha Agung PKR berkata, inisiatif-inisiatif yang diumumkan oleh kerajaan negeri Selangor dari masa ke semasa membuktikan betapa prihatinnya kerajaan ini.
“Kerajaan negeri juga telah memperuntukkan RM10 juta untuk jelajah ‘Jualan Ehsan Rakyat Selangor’ yang memberi fokus kepada enam jenis barangan keperluan asas iaitu ayam, daging, ikan, telur, beras dan minyak masak dengan harga 30 peratus lebih murah dari harga pasaran bermula Ogos sehingga Disember ini.
“Juga Menteri Besar ada umum Skim Air Darul Ehsan (SADE) untuk 237,000 rakyat negeri ini untuk menikmati skim air percuma untuk 20 meter padu dengan objektif utamanya membantu rakyat Selangor akibat pandemik dan inflasi
“Jika tidak salah saya, bulan lalu juga ada pengumuman akses guaman secara percuma melalui peruntukan dana di peringkat negeri. Jika saya hendak senaraikan banyak lagi inisiatif sebenarnya.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Amirudin Shari yang berjiwa rakyat dan tidak retorik sebaliknya benar-benar menyelami penderitaan rakyat, sesuai dengan semangat negeri penyayang,” ujarnya. –MalaysiaGazette