rayuan Islam
Afnan Hamimi Taib Azamudden

ALOR SETAR – Dewan Pemuda Pas mencadangkan usul sembilan tawaran buat anak muda menerusi Wawasan Induk Negara Sejahtera (Wins) bagi membina Malaysia Sejahtera yang dikemukakan presiden parti itu pada Muktamar Tahunan Pas ke-68 hari ini.

Perwakilannya, Afnan Hamimi Datuk Taib Azmudden berkata, sembilan tawaran itu membabitkan tawaran pemilikan rumah melalui kaedah sewa beli, insentif pengecualian dan diskaun bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan menyediakan pembiayaian pengajian siswa/siswazah melalui MyBrain diwujudkan semula.

“Selain itu, penyewaan tanah milik kerajaan kepada anak buat bagi tujuan pertanian, data internet percuma 5GB sehari untuk golongan B40 dan M40, saranan pelaksanaan makanan percuma bagi B40 dan M40 di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) melalui kaedah e-dompet.

“Antara lain, kreditkan RM100 setiap bulan melalui e-dompet buat anak muda B40 dan M40 untuk memberi barangan keperluan harian, bantuan bayaran anak ke sekolah dan terakhir bantuan makanan bagi pelajar B40 di sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam usul terima kasih dan perbahasan Ucapan Dasar Presiden sempena Muktamar Tahunan Pas ke-68 hari ini.

Mengulas lanjut Afnan Hamimi menegaskan, soal ekonomi bukan perlu diukur daripada segi material sebaliknya siapa yang menguruskan ekonomi tersebut.

“Contohnya dulu Kedah dianggap mundur dan kemiskinan namun negeri yang ditadbir ‘pak lebai’ inilah yang berjaya menarik pelaburan tertinggi dalam negara.

“Selain itu, falsafah barat menganggap manusia ini sebagai alat untuk mendapatkan undi serta alat mendapatkan kuasa semata-mata sebab itu ada rakan, teman dan lawan kita yang tak serius dengan agenda penyatuan ummah kerana mereka menganggap pengundi untuk mendapatkan kuasa semata-mata.

“Bagi Pas yang tegas dengan dasar Islam kita menganggap manusia sebagai hamba Allah walaupun ia populis atau tidak populis,” katanya. – MalaysiaGazette