Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berucap ketika hadir ke pembukaan Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah Kota Sarang Semut, Alor Setar, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 03 SEPTEMBER 2022.

ALOR SETAR – Pas tidak menolak kemungkinan menilai semula kerjasama politik dengan pelbagai pihak dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berikutan ketidaktentuan politik.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, meskipun Pas dan Perikatan Nasional (PN) masih berada di dalam Kerajaan Persekutuan, namun ketidaktentuan hala tuju menuntut parti itu mengkaji tentang masa depan terutamanya dalam menghadapi PRU15 yang semakin hampir.

“Segala usaha ini kita serahkan kepada pimpinan kita untuk menentukan keadaan ini,” katanya berucap pada Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, di sini, hari ini.

Tambahnya, beliau juga menyifatkan Muktamar Pas kali ini sebagai muktamar yang terakhir sebelum menghadapi PRU15 akan datang.

“PRU15 dianggap penganalisa politik sebagai bapa kepada segala pilihan raya.

“Saya percaya perwakilan akan mengambil kesempatan ini untuk memberikan idea, buah fikiran dan pandangan bagaimana kita membuat persiapan organisasi, kewangan, strategi dan calon.

“Apa terpenting sokongan rakyat bagi kita mempertahankan kemenangan kerusi-kerusi telah kita menangi sekaligus menambah bilangan kerusi yang boleh dimenangi,” katanya.

Menurutnya, pimpinan tertinggi Pas dan PN akan memberikan arahan dan strategi bagi memastikan parti itu bukan sahaja mempertahan kerusi sedia ada bahkan menambah kemenangan pada PRU15.

“Arahan persiapan dan strategi khusus menghadapi PRU15 akan kita perincikan pada majlis dan waktu lain apabila tiba masanya kelak,” katanya.

Sementara itu, Pas turut tidak menafikan sumbangan Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan sahaja dalam memulihkan negara bahkan berjasa kepada parti Islam itu untuk bersama-sama mentadbir negara semasa pentadbiran Kerajaan PN.

“Pas mengucapkan syukur kepada Allah kerana sejak PRU14 lebih empat tahun lalu, Pas berjaya mendapat mandat rakyat menjadi peneraju dua kerajaan negeri iaitu Kelantan dan Terengganu, kemudiannya di Kedah pada Mei 2020.

“Berikutan kejatuhan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Februari 2020, Alhamdulillah Pas juga diberi kesempatan untuk membentuk Kerajaan Persekutuan diterajui oleh PN di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Terima kasih Tan Sri Muhyiddin kerana memberi kesempatan kepada Pas untuk bersama menyumbang tenaga dan usaha membangunkan semula negara kita meskipun Pas terpaksa berundur pada Ogos 2021,” katanya lagi. – MalaysiaGazette