Abdul Azeez Abdul Rahim
Abdul Azeez Abd Rahim

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim telah membuat laporan polis ke atas Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof kerana memfitnahnya berkaitan kontrak Offshore Patrol Vesel (OPV).

Mantan Pengerusi Tabung Haji (TH) itu  turut akan memfailkan saman kerana Dr. Mujahid begitu rakus mengeluarkan kenyataan dengan perkataan berbaur fitnah dan hasutan berkaitan TH.

“Saya merasa begitu terkilan dengan tohmahan dan fitnah oleh Mujahid berkaitan dengan kontrak OPV yang disiarkan melalui Facebooknya dan instagram Sinar Harian pada 2 September lalu.

“Fitnah beliau dengan jelas menyebut nama saya sebagai pengerusi bukan eksekutif TH ketika itu mendapat kontrak secara direct nego berjumlah RM739 juta melalui Datuk Seri Najib Tun Razak kepada TH Heavy Engineering Berhad (THHE).

“Saya telah buat laporan polis semalam dan tanpa teragak-agak akan memfailkan saman fitnah ke atas Mujahid yang berkali-kali mengaitkan saya dengan perkataan fitnah serta hasutan berkaitan TH,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Abdul Azeez menyatakan, beliau adalah Ahli Lembaga Pengarah TH sejak 2011 dan dilantik menjadi Pengerusi Bukan Eksekutif Lembaga Tabung Haji pada 1 Julai 2013 sehingga meletakkan jawatan pada Mei 2018.

Katanya, sepanjang memegang jawatan itu dan sehingga tempoh detik ini, walaupun pelbagai siasatan dilakukan ke atasnya tidak pernah sekali pun ada dakwaan sebarang salah laku, penyelewengan, kecurian atau rompakan dana TH.

“Selama ini saya cukup bersabar dihina, dicaci dan dimaki oleh segelintir pihak, sama ada di media sosial dalam kempen politik mahupun di Dewan Rakyat sewaktu sidang Parlimen.

“Gambar dan poster saya mengerjakan ibadah umrah dan haji ketika menjadi tetamu jemputan Allah dipermainkan dengan ayat hinaan dan cacian menggambarkan saya sebagai penjenayah yang mengerjakan TH, menyamun dan merompak wang milik pendeposit.

“Tidak cukup dengan itu ada pihak yang lebih jauh sanggup memfitnah saya dengan menyebarkan identiti saya kononnya saya adalah Hindu yang menukar nama dari Kalimuthu kepada Abdul Azeez Bin Abdul Rahim,” katanya.

Katanya, beliau menyaksikan keseronokan sebilangan individu yang mempermainkan agamanya malah kulit dan bangsanya juga turut dimomokkan.

Sedangkan, beliau dilahirkan dari kedua ibu bapa yang beragama Islam dan tercatat sijil kelahirannya sebagai keturunan Melayu dan beragama Islam.

Bagi menjawab tuduhan Mujahid berkaitan dengan OPV, Abdul Azeez menegaskan sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif TH, beliau tidak mempunyai sebarang kuasa membuat keputusan dalam pengurusan dan pentadbiran Lembaga Tabung Haji (LTH).

Katanya, organisasi LTH mempunyai barisan pengurusan yang terdiri dari CEO, CFO dan Ahli Lembaga Pengarah yang mempunyai kuasa mengundi dalam melaksanakan pengurusan TH.

Kenyataan Mujahid bahawa kontrak OPV telah dianugerahkan kepada THHE iaitu syarikat yang tidak berpengalaman dalam pembuatan kapal adalah satu tuduhan palsu, berbaur fitnah dan hasutan semata-mata.

“Kontrak tersebut dianugerahkan kepada syarikat kerjasama THHE Destini Sdn. Bhd. Beliau jelas begitu keliru dalam pernyataannya kerana syarikat THHE adalah entiti yang berbeza dan bebas daripada LTH.

“Syarikat ini tersenarai dalam Bursa Saham Malaysia dan mempunyai tadbir urus korporat tersendiri serta hanya syarikat bersekutu LTH yang ketika itu memiliki pegangan saham berjumlah 29.8 peratus dalam THHE.

“Saya tidak mempunyai sebarang kuasa atau locus standi untuk mencampuri sebarang urusan pentadbiran dan perniagaan THHE,” ujar beliau.

Justeru, kata Ahli Parlimen Baling itu, segala urusan berkaitan penganugerahan kontrak OPV itu adalah dalam bidangkuasa Kementerian Kewangan melalui correspondent dan dokumentasi dengan pihak THHE Destini Sdn. Bhd. serta syarikat berkaitan lainnya, yang mana beliau tidak mempunyai sebarang locus standi serta kuasa mencampuri sebarang urusan tersebut.

“Mujahid secara terang-terangan telah membuktikan kegagalannya melaksanakan tugas sebagai menteri agama sepanjang 22 bulan perkhidmatan sejak dilantik pada 2 Julai 2018 sehingga berlaku peletakan jawatan Perdana Menteri oleh Tun Mahathir Mohamad pada 2020.

“Ini kerana beliau pada ketika itu tidak pernah membangkitkan isu kelewatan atau kegagalan projek OPV ini, sedangkan beliau sendiri sedar kapal ini perlu diserahkan pada 2020.

“Apa yang beliau lakukan sepanjang waktu memegang jawatan menteri ketika itu? Di mana PAC ketika itu? Mengapa baru sekarang beliau menimbulkan isu ini? Adakah kerana pilihanraya semakin hampir? Maka Mujahid akan melaksanakan taktik dan strategi lama dengan menghasut rakyat?” soal Abdul Azeez.

Katanya, ketika memegang jawatan menteri agama, Mujahid telah mendakwa TH telah tenat ibarat pesakit kanser dan perlu dirawat.

“Beliau dengan begitu bangga telah menjual, memindahmilik aset-aset TH termasuk aset milik THHE ini dalam penerbitan Sukuk berjumlah RM19.6 bilion milik UJSB pada 31 Disember 2018.

“Namun, dalam pernyataan beliau dalam video ini jelas menunjukkan THHE sedang mengalami proses delisting daripada Bursa Saham selepas tersenarai sebagai syarikat PN17.

“Bukankah beliau telah berjaya menyelamatkan THHE setelah memindahmilik syarikat ini menjadi milikan UJSB dengan pegangan saham sebanyak 64.45 peratus?” soal beliau.

Oleh itu, kata Abdul Azeez, pernyataan Ahli Parlimen Parit Buntar itu jelas menunjukkan dirinya gagal dan tidak pernah menyelamatkan TH serta cuba mengelirukan rakyat dengan pelan pemulihan TH yang gagal.

Beliau menyeru kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis melakukan siasatan yang telus ke atas dakwaan Mujahid terhadapnya serta bersedia memberikan kerjasama penuh dalam siasatan ini.

Katanya, beliau juga mempunyai tanggungjawab mempertahankan maruah diri dari berterusan difitnah dan dihina tanpa adanya pertimbangan hanya kerana agenda politik.

“Cuma apa yang saya kesalkan Mujahid yang dibesarkan dalam keluarga berpendidikan agama yang tinggi sanggup memakan daging saudaranya sendiri dengan berkali-kali menghasut, memfitnah dan mengaibkan saya secara peribadi dalam isu TH.

“Akibatnya ramai di luar sana mempercayai hasutan sebegini dan secara berjemaah dengan melulu bertindak menyebarkan fitnah ke atas diri saya sehingga melukakan hati ibu dan ahli keluarga saya yang menerima tempias akibat agenda jahat ini.

“Pesanan saya, berpolitiklah secara matang. Raikanlah perbezaan pendapat dan berjuang serta berkhidmat kepada rakyat. Hentikanlah kaedah berpolitik dengan hasutan kebencian, penipuan dan aib mengaibkan,” katanya. – MalaysiaGazette