pemberi rasuah
Abdul Hadi Awang

ALOR SETAR – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengingatkan ahli parti itu supaya tidak mencari kawan yang suka berkelahi dalam perjalanan politik nasional parti itu.

Menurutnya, parti itu juga tidak boleh bersikap meramaikan musuh sebaliknya mencari rakan termasuk badan bukan kerajaan (NGO) yang boleh bergabung dengan mereka.

“Jangan cari musuh yang ramai. Dengan itu cari parti NGO yang boleh bergabung dengan kita termasuk dengan bukan Islam. Jangan cari yang banyak berkelahi dengan kita.

“Ini yang diajarkan oleh nabi dan al-Quran begitu. Akhirnya Islam berdaulat, Islam berkuasa.

“Pendekatan mengecilkan musuh. Jangan meramaikan lawan. Itu langkah yang sangat penting. Untuk mencapai kemenangan kita mesti mempunyai syarat-syarat kemenangan. Istiqamah dan faham. Jangan ikut jalan yang tidak menentu. Kalau cukup syarat Allah mesti tolong,” kata Abdul Hadi.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Muktamar Tahunan Pas ke-68 di sini yang berakhir hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu mengingatkan ahli parti supaya mengutamakan strategi bersifat nasional dalam usaha parti itu untuk mendominasi Kerajaan sepenuhnya.

Ketika ini,  walaupun Pas dalam kerajaan, katanya, parti itu masih lagi belum dianggap berkuasa.

“Dalam keadaan kita memandu Pas, memandu sedikit sebanyak, belum berkuasa lagi. Kita mengerakkan kekuatan kita ke arah untuk mendominasi kerajaan sepenuhnya. Peringkat demi peringkat.

“Kerana itu saya minta supaya strategi yang bersifat nasional dipelihara dengan baik jangan masing-masing buat kepala sendiri dan kerja sendiri kerana ramal nak menang.

“Nak menang cepat. Saya beri pantun, Ikan tenggiri, Ikan Termenung, Di masak dihias bunga rampai, Hajat di hati nak peluk gunung, Apa nak buat tangan tak sampai.

“Tangan tak sampai lagi tapi Allah berjanji,” katanya.

Jelas beliau, Pas membawa penyelesaian dalam negara melalui pendekatan politik yang bersifat nasional.

Abdul Hadi turut mengingatkan ahlinya bahawa Pas tidak boleh mengamalkan politik kenegerian.

“Kerana kita Parti Islam Semalaysia bukan parti sePerlis, seKelantan, seTerengganu, bukan parti seBaling.

“Pendekatan, strategi yang berbentuk nasional kebangsaan tidak boleh kenegerian.

“Ini kena faham kerana ada negeri yang minta autonomi. Hendak buat kerja sendiri. Nak hadapi pilihan raya. Ini saya peringatkan.
Ini sangat penting,” kata Abdul Hadi.

Dalam ucapan hampir 35 minit itu, Abdul Hadi juga mahu sayap parti itu, Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) memainkan peranan lebih berkesan untuk menarik sokongan bukan Melayu.

Beliau berkata, jika DAP boleh melantik ahli Parlimen orang India di kawasan majoriti Cina mengapa Pas tidak boleh minta orang Cina menyokong parti itu dalam pilihan raya.

“Banyak orang India jadi wakil rakyat DAP orang Cina boleh pilih dia, kenapa tidak boleh pilih Melayu? Bila orang India yang sokong kita dalam perhimpunan, ini kelemahan yang perlu kita baiki.

“Moga kita dapat tembusi benteng-benteng yang memisahkan orang bukan Islam dan menggerakkan mereka yang sedang tidur nyenyak dengan penuh bijaksana.

“Insya-Allah, kalau ikut perancangan secara teratur dan berjemaah, berkolektif kita dapat kejayaan dengan pertolongan daripada Allah,” katanya. – MalaysiaGazette