Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menyempurnakan gimik pada Majlis Perasmian Penutup Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Kebangsaan 2022 di Dataran PPR Seri Alam 2, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM 04 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar akan mengumumkan berkenaan pemakaian pelitup muka pada minggu depan.

Katanya, mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Kesihatan Awam yang dipengerusikan beliau minggu lalu kini dalam peringkat mengumpul maklum balas serta pandangan orang ramai mengenainya.

“Kita sudah bermesyuarat minggu lepas dan saya telah menerima syor daripada pakar dan saya masih lagi sedang mengumpulkan maklum balas dan pandangan daripada orang ramai.

“Minggu depan saya akan buat pengumuman berkenaan dengan pemakaian pelitup muka ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmi penutup Minggu Kesedaran Pendermaan Organ (MKPO) 2022 di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, ada tiga perkiraan endemik iaitu pertamanya, pengisytiharan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), yang mana ketika ini Covid-19 masih lagi a public health emergency of international concern (PHEIC).

Katanya, selagi Covid-19 masih PHEIC, maka negara-negara ahli termasuk Malaysia mesti berhati-hati mengenai penyakit itu.

“Kedua, ialah Akta 342 masih terpakai sehingga akhir Disember ini. Saya telah melanjutkan akta ini untuk seluruh kawasan di negara yang diisytiharkan sebagai kawasan berjangkit sehingga Disember.

“Dengan Akta 342 ini, sekiranya perlu, kita boleh kuatkuasakan peraturan dan undang-undang walaupun sekarang ini kita sudah tidak kuatkuasakan lagi, tetapi undang-undang itu masih terpakai.

“Ketiga, indikator kesihatan. Dalam keadaan endemik ini, kita kena tanya pakar jangkit penyakit, pakar epidemiology apakah maksud endemik dalam konteks koronavirus,” katanya.

Sementara itu, ketika berucap, Khairy berkata, KKM sedia memberikan saringan kesihatan percuma kepada golongan B40 di bawah program PeKa B40.

Katanya, data menunjukkan masih ramai yang layak, tetapi tidak mengambil kelebihan itu atas sebab tersendiri.

“Untuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, sejak PeKa B40 dilancarkan April 2019 hingga Julai lalu, hanya 14,596 atau 4.9 peratus yang layak telah menjalankan saringan.

“Jumlah ini amat rendah dibandingkan 297,766 atau 95.1 peratus penerima PeKa B40 yang belum mendapatkan saringan kesihatan masing-masing di Kuala Lumpur.

“Saya menyeru semua supaya segera mendapatkan ujian saringan kesihatan percuma demi kesejahteraan diri, keluarga dan masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette