Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin melawat ke ruang pameran ketika Majlis Perasmian Penutup Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Kebangsaan 2022 di Dataran PPR Seri Alam 2, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM 04 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar secara peribadi menyokong pendermaan organ dan perkhidmatan transplantasi.

Malah beliau sendiri pada 2015 sudah berikrar untuk menjadi penderma organ.

“Dari segi perubatan, pendermaan organ dan tisu bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup seseorang malah menyelamatkan nyawa pesakit yang mengalami kegagalan organ tahap akhir.

“Dari segi kemanusiaan, ia dianggap sebagai kebajikan serta tindakan yang mulia kerana memberi manfaat besar kepada orang lain.

“Dari segi Islam, Majlis Fatwa Kebangsaan yang bersidang pada Jun 1970 memutuskan bahawa pendermaan organ dan tisu untuk pemindahan adalah dibenarkan (harus),” katanya berucap pada majlis perasmian penutup Minggu Kesedaran Pendermaan Organ (MKPO) 2022 di sini hari ini.

Menurut Khairy, selain Islam, agama lain seperti Buddha, Hindu, Kristian dan Sikh juga menggalakkan pendermaan organ kerana ia akan memberi kebaikan kepada penerima dan asalkan ia tidak melibatkan nilai komersial.

Beliau menyatakan, bagi mereka yang merupakan penerima organ umpama peluang kedua untuk hidup dan satu anugerah sangat berharga untuknya.

Katanya, sejak negara ini memulakan perkhidmatan transplantasi pada tahun 1975, sebanyak 2,700 kes transplantasi telah dijalankan melibatkan pendermaan organ daripada penderma yang meninggal dunia dan dua penderma hidup.

Jumlah itu, jelas beliau, masih rendah jika dibandingkan dengan bilangan pesakit kegagalan organ tahap akhir yang tinggi di negara ini.

Kata Khairy, tema sambutan Minggu Kesedaran pada tahun ini iaitu ‘Derma Organ, Cakna Demi Kehidupan’ yang bermaksud ambil peduli.

“Sebagai masyarakat penyayang, rakyat Malaysia mampu membawa perubahan kepada suasana ini dan pesakit yang memerlukan boleh jadi ahli keluarga atau kenalan rapat kita.

“Jika orang yang tidak dikenali sekali pun, pastinya ia sesuatu perbuatan yang mulia. Oleh itu, marilah kita sama-sama terus memberi sokongan kepada usaha pendermaan organ.

“Dengan kesedaran ini, kita mampu meningkatkan lagi kadar pendermaan organ dan transplantasi melalui usaha berterusan daripada semua pihak,” katanya.

Beliau turut mengambil kesempatan merakamkan penghargaan kepada pasukan perubatan yang menjayakan program pendermaan organ dan transplantasi di negara ini.

“Ia bukan sesuatu yang mudah, saya faham ia melibatkan proses yang panjang untuk membolehkan organ didermakan dan akhirnya dipindahkan kepada pesakit.

“Pembedahan transplantasi juga memerlukan ketelitian dan kesungguhan bagi memastikan organ yang dipindahkan dapat berfungsi dengan baik.

“Kementerian Kesihatan memandang serius mengenai perkara ini dan sentiasa berusaha untuk menambah baik mutu perkhidmatan transplantasi di negara ini,” katanya.

Beliau juga gembira apabila dimaklumkan, antara inisiatif baharu yang akan dilaksanakan adalah termasuk penggunaan aplikasi MySejahtera bagi urusan pendaftaran pengikrar derma organ dan sebagai platform penyampaian maklumat terkini.

Ujar beliau, ciri borang pendermaan organ itu dijangka dimulakan pada akhir 6 September ini di aplikasi 3 MySejahtera.

“Selepas ini, proses ikrar akan lebih mudah untuk rakyat dan diharapkan semakin ramai ahli masyarakat yang cakna mengenai ini dan turut menyokong usaha pendermaan organ,” katanya. – MalaysiaGazette