KUALA LUMPUR – Pakar motivasi, Prof Datuk Dr Muhaya Mohamad berpendapat umat Islam mempunyai lima pilihan untuk membuat keputusan dalam mencari keseronokan dengan memilih jalan yang diredai Allah.
Beliau yang pakar bedah mata itu berkata, keputusan yang dibuat perlu melibatkan iman, syurga, taat, pahala dan keredaan agar masa seseorang itu tidak menjadi sia-sia di dunia ini.
“Apa-apa yang Allah tidak reda, saya tidak setuju dan salah satu tanda Allah sayangkan seseorang ialah apabila kita tidak menghabiskan masa dengan perkara sia-sia.
“Apakah perkara yang sia-sia itu? Ia tidak memberatkan timbangan di Padang Mahsyar dan malaikat sentiasa mencatat perbuatan kita.
“Kita sendiri ada pilihan setiap saat. Sebelum buat sesuatu perkara, kita harus fikirkan lima pilihan iaitu iman atau nafsu, syurga atau neraka, taat atau maksiat, dosa atau pahala dan Allah reda atau Allah murka” katanya yang memberi pendapat secara peribadi.
Beliau berkata demikian pada Seminar Transformasi Prof Muhaya Circle (PMC) 2022 ‘Zero Stress Living’ di sini semalam.
Lebih 500 peserta hadir pada PMC itu yang turut dihadiri oleh beberapa selebriti antaranya Datin Lisa Surihani, Hafiz Hamidun, Mia Ahmad, Wany Hasrita dan Amira Othman.
Beliau diminta mengulas mengenai lambakan penganjuran konsert penyanyi luar negara di negara yang menjadi polemik sesetengah pihak kerana didakwa menjadi sebab penularan budaya hedonisme.
Muhaya menambah, beliau tidak menghakimi mana-mana umat Islam yang hadir ke konsert antarabangsa dan apa jua hukum dalam agama biarlah ditentukan golongan lebih arif
“Saya tidak menghukum atau menghakimi sesiapa, saya hanya memberikan pandangan peribadi. Berkenaan dengan hukum, saya tak boleh komen dan itu saya serahkan kepada ustaz atau mereka yang lebih arif.
“Jika ada yang bertanyakan mengenai konsert artis luar negara kepada saya, letak dahulu lima pilihan itu, barulah bertindak membuat keputusan. Saya pun suka berhibur tetapi saya berhibur dengan suami. Saya menyanyi di rumah sahaja,” katanya.
Mengulas mengenai PMC, Muhaya memberitahu, ketika dan selepas pandemik melanda, ramai individu yang terkesan terutama daripada sudut tekanan emosi serta perasaan.
Menerusi seminar itu, beliau mahu memberi solusi kepada peserta untuk menangani perkara berkenaan.
“Program PMC berdasarkan 41 tahun pengalaman saya bertemu dengan pelbagai lapisan manusia. Ia telah membantu lebih 11,000 orang yang sebelum ini mengakui ‘telah mati’ dalam kehidupan.
“Semua yang hadir mahu menjadi lebih positif. Menerusi seminar ‘Zero Stress Living’, peserta akan mengenal pasti sumber stress, apa kesannya dan solusi asas untuk mereka keluar daripada belenggu stress.
“Alhamdulillah, kali ini lebih 500 orang yang menyertai PMC dan pertama kali diadakan secara bersemuka kerana sebelum ini, semuanya dibuat secara atas talian. Semua yang hadir mahu hidup dengan transformasi positif dan menjadikan ‘pencinta tanpa syarat’ sebagai modus operandi kehidupan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette