Rumah tangga Nad Zainal dan Faliq diserikan dengan kehadiran dua cahaya mata.

KUALA LUMPUR – Tiada angin, tiada ribut, ikatan suci yang dibina pelakon, Nad Zainal dan suaminya, Muhammad Faliq Amiruddin terlerai baru-baru ini selepas tujuh tahun melayari bahtera rumah tangga.

Sepanjang berkongsi hidup, pasangan itu diserikan dengan kehadiran dua cahaya mata, Fahad Ibrahim, 6, dan Budi Kalsom, setahun.

Menerusi di Instagram milik pelakon Takdir Yang Tertulis di TV3 itu, dia juga sudah memadam gambarnya bersama Faliq.

Nad atau nama penuhnya, Farah Nadia Zainal Abidin berkata, keputusan berpisah itu bukan mudah.

“Kami sudah bercerai baru-baru ini. Malah keputusan berpisah ini juga dicapai dengan kata sepakat. Kami masih berkawan baik demi dua anak,” katanya tanpa mahu mengulas panjang.

Diasak bila dan punca bercerai, Pelakon Drama Wanita Terbaik, Anugerah Skrin 2018 melalui lakonannya sebagai gadis autisme dalam drama Fatonah Azali turut enggan memperincikan lebih lanjut.

“Cukup dikongsi status saya kini. Saya perlu menjelaskan soal status diri, supaya tidak mengundang fitnah.

“Apa yang lebih utama kini, saya perlu kuat untuk meneruskan survival membesarkan dua anak serta membiasakan status ibu tunggal,” katanya yang bakal muncul dalam drama Cina Buta arahan Shahrulezad Mohameddin.

Nad mendirikan rumah tangga bersama Faliq pada tanggal 18 Disember 2015. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast