Kamarul Zaman (tengah) menunjukkan minuman keras tidak bercukai kastam di IPK Johor hari ini.

JOHOR BAHRU – Polis Johor berjaya menumpaskan sindiket menjual arak tiruan dan arak tidak bercukai pelbagai jenama baru-baru ini.

Serbuan dilakukan di stor kedai runcit  di Jalan Riang Utama, Taman Gembira di sini pada Khamis lalu melibatkan rampasan 6,168 tin dan 951 botol dengan nilai RM305,252.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pemilik kedai berusia 53 tahun itu juga ditahan untuk siasatan lanjut.

Siasatan mendapati lelaki terbabit telah mengaut untung dengan menjual arak tiruan dan tidak bercukai sejak tiga bulan yang lalu.

“Modus operandi dipercayai minuman keras itu dibawa keluar dengan kuantiti yang banyak dari kawasan zon bebas cukai untuk dipasarkan sekitar Johor Bahru menggunakan di kedai runcit dan menggunakan kereta sendiri.

“Arak tiruan dalam botol itu dipercayai diproses dan diperoleh dari tempat lain dan dijual dengan harga pasaran sekitar RM150 hingga RM170.

“Arak itu menggunakan kod QR Jabatan Kastam yang palsu bagi mengaburi mata pengguna. Pemeriksaan lanjut mendapati kod QR itu tidak boleh diimbas menggunakan aplikasi Sistem Cukai Kastam,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini.

Jelas Kamarul Zaman, kaedah itu memberi ruang kepada peniaga mengaut untung dengan menjual arak tersebut pada harga lebih mahal.

“Mereka ini pandai. Arak yang tidak bercukai itu dijual lagi tinggi sekitar RM7.50 hingga RM8 setin berbanding RM3.50 di kawasan zon bebas cukai.

“Sekarang ini, polis sedang menyiasat dari mana suspek peroleh bekalan samsu haram itu serta mengesan ahli sindiket berkenaan,” katanya.

Suspek direman selama 10 hari bermula Jumaat lalu hingga hari ini bagi membantu siasatan dijalankan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 4(1)(c) Akta Mempengaruhi Undang-Undang 1976 (penghapusan samsu gelap). – MalaysiaGazette