HULU SELANGOR – Tindak tanduk segelintir pemimpin politik yang berterusan bermain polemik kaum berhubung gejala skandal rasuah menjelangnya musim pilihan raya sungguh mengecewakan.
Menurut Ketua Cabang Hulu Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan, isu itu walaupun mendapat kritikan pelbagai pihak namun ianya terus menjadi mainan di bibir pemimpin politik.
Soalnya adakah segelintir ahli politik ini menyedari negara ini sedang berdepan dengan pendedahan-pendedahan skandal rasuah terbesar dunia di negara ini.
Kata beliau antara pendedahan itu penyewelengan dana 1MDB RM2.3 bilion membabitkan bekas Perdana Menteri selain kepincangan projek pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) juga membabitkan berbilion ringgit milik rakyat negara ini.
“Saya sungguh tidak faham sebenarnya, mengapa isu ini juga dipolemikkan dengan menggunakan batasan agama dan bangsa? Lagi-lagi ketika kita sedang menyambut kemerdekaan. Apakah yang sedang di lakukan oleh segelintir pemimpin dan parti politik ini?
“Apakah mereka tahu dan sedia maklum adanya skandal terbesar seperti 1MDB dan kini LCS pula? Siapa yang lakukan rasuah itu? Adakah kita gunakan bangsa atau agama di situ? Tolonglah. Mana hala tuju kita sebenarnya?
“Semalam Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dipanggil polis untuk siasat tentang pendedahan beliau, juga telefonnya di rampas. Bukankah beliau mendedahkan sesuatu yang melibatkan kepentingan negara, duit rakyat? Tetapi Rafizi pula disiasat.
“Sebenarnya kita berada di era mana? Mengapa semakin ‘double standard’ keadaan negara kita? Perubahan perlu di bawa, sehingga bila kita hendak menjamah berita-berita seperti ini lagi?” katanya ketika berucap di hadapan lebih 300 penduduk setempat di program Kembara Merdeka 2.0 Cabang Hulu Selangor di sini malam tadi.
Baru-baru ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa, usaha menangani penyakit rasuah wajib dilakukan secara holistik supaya tidak menjadi wabak apabila diambil tindakan yang tidak menyeluruh sehingga ke akar umbinya khususnya terhadap mereka yang menjadi punca rasuah kerana mengejar harta secara haram termasuk melibatkan komuniti bukan Islam.
Media melaporkan, polis sudah membuka kertas siasatan terhadap Presiden Pas itu susulan kenyataannya yang mendakwa komuniti bukan Islam dan bukan bumiputera adalah golongan paling banyak terbabit rasuah.
Dalam pada itu, kata Dr Sathia yang juga Timbalan Setiausaha Agung PKR, antara yang paling lantang menentang salah guna kuasa, rasuah, penyelewengan dan pelbagai perkara lain yang memudaratkan rakyat ialah presiden partinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.
“Memang selama ini beliau (Anwar) banyak bercakap tentang isu-isu salahguna kuasa ini, PH juga antara yang paling cepat membuat pelbagai pendedahan kepincangan yang berlaku di negara ini. Ini bukan soal siapa hendak berkuasa sebaliknya jangan cuba kaburi rakyat lagi,” katanya. – MalaysiaGazette