Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed (tengah) dan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey (kanan) menunjukkan tangki yang disita susulan 11 lelaki ditahan terbabit dalam penyelewengan diesel subsidi menerusi Op Kontraban di Jalan Semenyih, Selangor. Foto MUHD NA'IM, 05 SEPTEMBER 2022.

SEMENYIH – Seramai 11 individu dicekup kerana disyaki terlibat aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi menerusi Op Kontraban bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor awal bulan ini.

Operasi dilakukan di sebuah gudang tidak bernombor di Jalan Semenyih di sini oleh Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Penguatkuasa KPDNHEP di dua lokasi berasingan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, tiga daripada kesemua suspek merupakan warga asing.

Kesemua mereka berusia antara 19 hingga 59 tahun dan bekerja di gudang itu sebagai pemandu lori serta pekerja am.

“Dalam serbuan itu kita merampas tujuh buah lori yang telah diubah suai dengan muatan keseluruhan 3,000 liter minyak diesel, sebuah lori tangki minyak dengan muatan 25,000 liter diesel serta sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux yang diubah suai dengan muatan 400 liter minyak diesel.

Antara tangki yang disita susulan 11 lelaki ditahan terbabit dalam penyelewengan diesel subsidi menerusi Op Kontraban di Jalan Semenyih, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 05 SEPTEMBER 2022.

“Turut dirampas 46 unit tong plastik berangka dengan muatan keseluruhan 27,050 liter minyak diesel, tiga tangki minyak statik dengan muatan keseluruhan 39,000 liter minyak diesel, 12 unit telefon bimbit, peralatan mengepam minyak ke dalam tangki dan tiga dokumen urus niaga,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Arjunaidi berkata, kesemua barang yang dirampas bernilai RM1.5 juta dan nilai kerugian akibat daripada aktiviti penyelewengan minyak diesel berubsidi berjumlah RM203,067.50.

Beliau berkata, sindiket terbabit dipercayai telah menjalankan kegiatan itu sejak tiga bulan lalu.

Katanya, modus operandi yang digunakan oleh sindiket terbabit adalah membeli minyak diesel dari stesen minyak di sekitar Kajang dengan menggunakan lori atau kenderaan 4X4 yang telah diuabhsuai.

Apabila tong tersebut telah penuh, kesemua minyak diesel akan dipindahkan ke dalam tangki simpanan di gudang sebelum dijual semula kepada pengusaha industri.

Ini bermakna pihak industri akan membeli minyak diesel bersubsidi dengan harga lebih murah daripada harga industri tanpa subsidi iaitu RM5.70.

Tambah beliau, kesemua tangakapan dan rampasan diserah kepada penguat kuasa KPDNHEP untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

“Kita percaya aktiviti ini masih dijalankan di Selangor khususnya dan di seluruh negara amnya dan ia telah menyebabkan negara mengalami kerugian ratusan juta ringgit dan memberi kesan negatif ke atas ekonomi.

“Kita mengalu-alukan orang ramai supaya menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui berlakunya aktiviti seperti ini di kawasan mereka. Maklumat sebegini penting kepada pihak polis dan KPDMHEP dalam usaha memerangi jenayah tersebut,” jelasnya. – MalaysiaGazette