KUANTAN – Mahkamah Syariah Pahang berjaya menyelesaikan sebanyak 124,012 kes sepanjang 20 tahun penubuhan intitusi kehakiman Islam di negeri itu.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jumlah itu mencatatkan sebanyak 97.5 peratus daripada 120,920 dalam rekod permohonan kes.
“Pihak pengurusan Mahkamah Syariah Negeri Pahang kini sudah berupaya mengimbangi keperluan pelanggan sebagaimana tuntutan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong agar rakyat disantuni sebaiknya.
“Ini dibuktikan dengan penyelesaian kes-kes mahkamah syariah seluruh Pahang yang cukup memberangsangkan,” katanya.
Beliau berkata berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Pahang yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.
Jelas Wan Rosdy, kecemerlangan itu dikecepi kerana hasil daripada penambahbaikan perjawatan hakim syarie di setiap daerah di Pahang.
“Ketika ini, jawatan hakim syarie di semua Mahkamah Rendah Syariah Daerah di seluruh Pahang telah lengkap diisi kecuali di Mahkamah Rendah Syariah Muadzam Shah.
“Begitu juga dengan penambahan satu lagi perjawatan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah di Temerloh menjadikan Jabatan Kehakiman Syariah Pahang kini mempunyai tiga dewan Mahkamah Tinggi Syariah berbanding hanya dua sebelum ini iaitu di Kuantan dan Bentong,” katanya. – MalaysiaGazette