KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli boleh menyertai ‘kluster pemegang jawatan paling singkat’ sekiranya audit forensik mendapati berlaku kepincangan dalam pemilihan parti itu baru-baru ini.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, Rafizi telah memaklumkan bahawa audit forensik tersebut sudah selesai dijalankan.
“Kalau forensik audit itu negatif, Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) boleh batal pendaftaran PKR. Rafizi akan masuk kluster pemegang jawatan paling singkat. Kesian trak Rafizi,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.
Beberapa calon yang bertanding pada pemilihan PKR termasuk bekas Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menggesa audit forensik dilakukan berikutan timbul keraguan mengenai manipulasi pengundi dan kekurangan ketelusan dalam proses pengiraan undi.
Pada pemilihan itu, Rafizi memenangi perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR setelah menewaskan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Sementara itu, Puad memberi peluang kepada Rafizi untuk menangguhkan sehingga minggu depan bagi menjawab mengapa beliau tidak membongkar penyelewengan projek terowong ‘ghaib’ di Pulau Pinang.
Beliau sebelum ini mempersoalkan mengapa Rafizi sibuk membongkarkan isu projek kapal tempur pesisir (LCS) namun bekas Ahli Parlimen Pandan itu senyap dalam isu projek terowong dasar laut yang didakwa berlaku semasa Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang.
Bagaimanapun, katanya, Rafizi meminta penangguhan kerana sibuk dengan siasatan polis mengenai projek LCS.
“Oklah, kita bagi dia tangguh. Semoga minggu depan dia masih kekal Timbalan Presiden PKR,” katanya. – MalaysiaGazette