Seorang remaja OKU dan autisme tercedera selepas terjun dari apartmen selepas ditinggalkan seorang diri di Taman Melawati, Ampang kelmarin.- Foto: Ihsan PDRM.

AMPANG –  Seorang remaja Orang Kelainan Upaya (OKU) dan autisme telah terjun dari tingkat satu sebuah apartmen didiaminya di Taman Melawati di sini kelmarin.

Bagaimanapun mangsa yang berusia 13 tahun itu terjatuh di atas bumbung kereta yang diparkir dan mengalami kecederaan.

Ketika kejadian, mangsa ditinggalkan seorang diri kerana ibunya telah menginap bersama anak bongsunya di sebuah hotel di Damansara.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, ibu mangsa merupakan seorang wanita berusia 43 tahun menginap di hotel kerana mahu membawa anak bongsunya untuk latihan berenang.

“Semasa kejadian di Apartmen Taman Melawati pada Sabtu lalu, wanita berkenaan pada mulanya menerima panggilan daripada bekas suaminya bahawa anak mereka telah terjun dari kediamannya.

“Siasatan awal polis mendapati mangsa telah terjun dari tingkat satu dan jatuh ke atas kereta yang diparkir di bawah bangunan tersebut dan telah mengalami kecederaan iaitu lima jahitan di bahagian kepala, tangan sebelah kanan serta kesan retak pada tangan dan muka,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.

Tambah Mohamad Farouk, mangsa kini dirawat di wad 5D di Hospital Ampang dan keadaan dilaporkan stabil.

Menurutnya, semasa kejadian, wanita berkenaan telah meninggalkan mangsa seorang diri di kediaman kerana membawa anak perempuannya yang berumur lima tahun pergi ke latihan renang dan bermalam di sebuah hotel di Damansara.

“Bagaimanapun semalam lebih kurang pukul 2 petang, sepasukan polis  telah buat tangkapan terhadap ibu kepada mangsa tersebut bagi membantu siasatan.

“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Ampang esok (hari ini) bagi permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya.

Kes berkenaan sedang disiasat bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang merujuk kepada kesalahan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette