Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyifatkan pengumuman Khairy Jamaluddin yang membayangkan “worst-case scenario” tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 sebagai satu kerugian.

Kata Ahli Parlimen Kepala Batas itu, beliau mengenali Khairy secara peribadi sejak sama-sama bergiat aktif dalam pergerakan Pemuda UMNO dan melihat Menteri Kesihatan itu mempunyai kebolehan tersendiri untuk ‘deliver’ serta melunaskan tanggungjawab dengan baik.

“Ya, adakala beliau agak lantang memberikan sudut pandang atau perspektif yang agak berbeza. Namun ia tidak bermakna pandangan beliau betul semuanya atau salah semuanya,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.

Reezal yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengulas perkembangan terkini politik tanah air yang menyaksikan ADUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan hasrat bertanding di kerusi Parlimen selain kerusi negeri.

Khairy ketika ditanya perkara tersebut berkata, Timbalan Presiden UMNO itu berkemungkinan bertanding di kerusi Parlimen Rembau yang merupakan kawasan ditandingi Khairy sebelum ini.

Mengulas lanjut, katanya, jika itu yang diputuskan oleh parti beliau akan akur namun dalam masa yang sama menegaskan amalan tradisi UMNO adalah seseorang calon itu bertanding di kawasan masing-masing.

Menurut Reezal, Khairy seorang rakan menteri yang sering memberi hujah-hujah bernas dalam Mesyuarat Kabinet.

Malah, katanya, kepimpinan beliau juga diiktiraf di peringkat antarabangsa hingga membolehkannya dipilih sebagai Naib Presiden Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA) ke-75 pada Mei 2022 lalu.

Selain itu, menurut beliau, Khairy juga dilihat sebagai personaliti yang boleh memberi keseimbangan untuk menarik pengundi khususnya kumpulan belia 18 tahun dan pengundi kali pertama (first-time voters).

“Perubahan demografi pengundi pasca Undi 18 ini juga dilihat cukup dinamik dan KJ mempunyai aura tersendiri yang boleh mengekalkan momentum kemenangan buat Umno dan BN.

“Seperti manusia lain juga, KJ tidak sempurna tetapi saya yakin keupayaan dan kebolehan KJ sebagai seorang pemimpin akan terus menjadi aset politik yang cukup penting untuk kemenangan parti dalam PRU-15 akan datang ini,” katanya. – MalaysiaGazette