SEOUL – Taufan Hinnamnor semakin menghampiri Korea Selatan pada hari Isnin, meletakkan seluruh negara dalam keadaan berjaga-jaga kerana ia merupakan ribut paling kuat.
Taufan ke-11 tahun ini bergerak melepasi perairan kira-kira 270 km barat daya Seogwipo di selatan Pulau Jeju sekitar jam 3 petang waktu tempatan (0600 GMT), menurut Pentadbiran Meteorologi Korea (KMA).
Taufan itu diramalkan bergerak ke utara-timur laut pada kelajuan 30 km sejam, mencecah perairan 90 km ke selatan Seogwipo sekitar jam 9 malam waktu tempatan pada hari Isnin (1200 GMT) dan perairan 190 km barat daya bandar pelabuhan tenggara Busan sekitar 3 pagi waktu tempatan pada hari Selasa (1800 GMT Isnin).
Apabila Taufan Hinnamnor menghampiri Busan, tekanan atmosferanya di tengah dan kelajuan angin maksimumnya diramalkan masing-masing mencecah 945 hektopascal dan 45 meter sesaat, sekali gus diklasifikasikan sebagai taufan “sangat kuat”.
Taufan boleh dikategorikan sebagai sederhana, kuat, sangat kuat dan terlalu kuat. Taufan peringkat tertinggi merujuk kepada kelajuan angin maksimum sekurang-kurangnya 54 meter sesaat.
Selepas melalui wilayah pantai tenggara negara itu, taufan itu dijangka tiba di perairan 130 km utara-timur laut Busan sekitar jam 9 pagi waktu tempatan Selasa (tengah malam Selasa), sebelum menuju ke laut.
Amaran hujan lebat dikeluarkan di seluruh negara sehingga Selasa kerana taufan itu membawa angin kencang dan hujan lebat.
Beratus-ratus penerbangan dan perkhidmatan feri dibatalkan di seluruh negara, manakala ratusan orang di Busan dipindahkan untuk bersiap sedia menghadapi taufan kuat itu.
Sekolah dan tadika disyorkan beralih kepada pembelajaran dalam talian, manakala syarikat swasta digesa menyesuaikan waktu bekerja pada hari Selasa. – Xinhua