zaid ibrahim
Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Peguam, Datuk Zaid Ibrahim terkejut dengan pendedahan terbaharu bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dalam temubual eksklusifnya dengan sebuah portal yang menjelaskan mengenai kisah SRC International Sdn. Bhd.

Dalam kes itu, mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didapati bersalah dan dikenakan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Tegas Zaid, apa yang mengejutkan, pendedahan itu ialah di awal perbicaraan Tommy menyatakan perlunya mereka bagi pihak pendakwa mendapatkan peguam ternama berikutan kes itu sangat rumit.

“Sebab itu Tommy ambil Datuk Seri Gopal Sri Ram dan Datuk V. Sithambaram untuk mengetuai pasukan pendakwa atas alasan kes yang mereka hadapi ini agak susah dan sulit.

“Padahal, Pejabat Peguam Negara mempunyai beribu peguam tetapi tidak digunakan sebaliknya mereka ambil peguam swasta.

“Alasannya, kes itu rumit kerana banyak dokumen yang perlu dikaji dan transaksi-transaksi dokumen yang ada di sekeliling kes itu juga perlu diteliti,” katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik dalam akaun Facebooknya hari ini.

Menerusi temubual eksklusif itu, Tommy terlibat dalam empat siri temubua iaitu siri pertama mengenai latar belakang dan bagaimana semuanya bermula, kedua mengenai proses mahkamah dan kelewatan, ketiga keputusan Mahkamah Persekutuan dan implikasinya serta keempat membincangkan proses pengampunan.

Menurut Zaid, beliau akan meneliti semua siri percakapan Tommy itu dan akan cuba memberi jawapan serta penjelasan setakat yang mampu untuk pengetahuan masyarakat.

Pemilik firma guaman Zaid Ibrahim Suflan TH Liew (ZIST) itu menjelaskan, disebabkan kes yang rumit dan banyak dokumen perlu dikaji sebagaimana disahkan oleh Tommy, beliau yang mewakili Najib cuba meyakinkan mahkamah untuk mengkaji semula semua dokumen berkenaan.

“Namun permohonan kami ditolak dengan alasan kes itu tidak rumit dan tidak susah tetapi di pihak pendakwa hendak memilih peguam dibenarkan dengan alasan kes itu rumit dan susah.

“Jadi, inilah yang kami peguam Najib cuba meyakinkan mahkamah hari itu, kita perlu masa untuk mengkaji kerana kita mengambil kes itu di saat akhir atas sebab tertentu. Tetapi mereka tolak, mereka tidak percaya.

“Dalam hal ini, saya berterima kasih kepada Tommy kerana mengakui kes itu rumit dan perlu mengkaji semua dokumen kes,” katanya.

Menurut Zaid, Tommy juga menjelaskan, pihaknya memerlukan peguam yang terbaik untuk mengendalikan pendakwaan kes itu dan memilih Gopal serta V. Sithambaram.

Katanya, Tommy juga dilaporkan berkata, pihaknya (pendakwa raya) harus diberikan peguam yang terbaik untuk mengendalikan kes berkenaan.

Bagaimanapun, apabila pihak pembelaan membuat hujah sama, mereka menyatakan kes itu mudah dan ramai peguam lain ada, tidak perlu menggunakan khidmat peguam dari luar negara.

“Inilah double standard (pilih kasih) yang saya hendak katakan. Inilah hipokrit yang kuno. Kumpulan inilah yang merosakkan pengadilan dalam kes ini.

“Apabila sampai masa untuk kepentingan mereka, mereka kata mereka perlukan peguam (pendakwa) yang terbaik, konon kes ini rumit dan sebagainya.

“Tetapi bila Najib hendak guna peguam luar negara, mereka kata tidak boleh peguam dari England, peguam di sini (tempatan) pun ada dan kes ini tidak susah,” katanya.

Justeru, Zaid mahu masyarakat di luar faham, kalau kes itu mudah kenapa kerajaan mengambil hakim khas untuk mendengar kes berkenaan dan bukan hakim yang selalu mengendalikan kes jenayah. – MalaysiaGazette