KUANTAN – Seorang wanita mengandung berusia 30 tahun dan teman lelakinya dicekup polis ketika sedang memasang kunci mangga dan menyimbah cat merah ke atas sebuah kediaman di Permatang Badak, Kuantan pada 1 September baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Zahari Wan Busu berkata, pasangan itu dipercayai menerima upah untuk mengutip hutang daripada individu yang membuat pinjaman daripada seorang Ah Long bergelar Jimmy.

“Susulan tangkapan itu, kita dapat membuat tangkapan ke atas tiga lagi suspek lelaki di sekitar Sungai Isap yang juga mengambil upah untuk membantu pemberi pinjaman wang tanpa lesen ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan,di sini hari ini.

Turut dirampas dua tong cat berwarna merah dan satu tong cat berwarna hitam, dua botol thinner, satu batang besi, satu batang kayu dan tujuh beg plastik kecil yang berisi cat merah.

Selain itu, lapan rantai besi beserta mangga, tujuh keping kertas putih dengan butiran peminjam dan satu no plat kenderaan palsu turut dirampas.

Tambah Wan Zahari, kesemua mereka menerima upah sebanyak RM60 untuk menghantar notis ugutan, RM100 untuk memasang kunci mangga dan RM250 untuk menyimbah cat merah.

Beliau berkata, kelima-lima suspek turut mengaku membaling cat berwarna merah dan mengunci sebanyak 31 buah rumah peminjam sejak tahun lepas.

Hasil siasatan juga mendapati kesemua mereka turut mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

“Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) IPD Kuantan masih meneruskan siasatan dan giat mengenal pasti ‘ah long’ bernama ‘Jimmy’,” katanya.

Wan Zahari berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 29 (B) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM250,000 dan boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Justeru, beliau menasihati masyarakat di daerah ini agar tidak terlibat membuat pinjaman dengan ‘ah long’ atau pemberi pinjaman wang tidak berlesen kerana kesannya hanya akan memudaratkan jika tidak dapat melunaskan pembayaran hutang dalam tempoh masa tertentu.

Wan Zahari juga memberi amaran kepada individu-individu yang membantu ‘ah long’ melaksanakan tugas mengutip hutang untuk menghentikan kegiatan itu segera. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast