Sebanyak 13 bot nelayan asing menceroboh perairan negara berhampiran Pulau Perak, Lumut berjaya diusir keluar oleh KD Laksamana Hang Nadim semalam.- Gambar ihsan TLDM.

KUALA LUMPUR – Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Laksamana Hang Nadim telah berjaya mengesan dan mengekang sebanyak 13 buah bot nelayan asing daripada memasuki perairan negara secara haram di berhampiran Pulau Perak, Lumut semalam.

Terdahulu, Pusat Operasi Armada (POA) Barat telah menerima maklumat dari Control Reporting Center (CRC) Kuantan berhubung pengesanan bot nelayan asing itu di posisi 65 batu nautika Tenggara Pulau Perak melalui Pesawat CL 415 MP milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

“Maklumat pengesanan lantas disalurkan kepada komponen maritim bagi tujuan tindakan lanjut dan bertindak menerusi maklumat yang disalurkan, KD Laksamana Hang Nadim yang sedang dalam penugasan Op Benteng Laut telah diatur gerak ke lokasi.

Sebanyak 13 bot nelayan asing ceroboh perairan negara berhampiran Pulau Perak, Lumut berjaya diusir keluar oleh KD Laksamana Hang Nadim semalam.- Gambar ihsan TLDM

“Setiba di lokasi, KD Laksamana Hang Nadim mengesan keberadaan kesemua 13 buah bot nelayan asing haram di posisi tersebut,” kata Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat, Lumut di Perak tengah malam tadi.

Tambah pihak berkenaan, KD Laksamana Hang Nadim seterusnya telah melaksanakan tindakan pengusiran terhadap kesemua bot nelayan asing itu dan kekal mengawasi mereka sehingga keluar meninggalkan sempadan perairan negara.

“Kerjasama dan tindakan bersepadu serta penyaluran maklumat yang pantas oleh kesemua agensi maritim negara berjaya mematahkan tindakan unsur-unsur yang melanggar undang-undang atau menceroboh kedaulatan periaran negara.

“ATM tidak akan berkompromi terhadap sebarang ancaman melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya.

Sehubungan itu, TLDM akan sentiasa memperkasakan rondaan di perairan negara dalam usaha memastikan kedaulatan dan khazanah negara kekal selamat dan terpelihara. – MalaysiaGazette