Ketua Setiausaha Gerakan Tanah Air (GTA) , Datuk Marzuki Yahya bercakap kepada media selepas menghantar memorandum perlembagaan Gerakan Tanah Air (GTA) di Pejabat Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, Putrajaya. Foto MUHD NA'IM, 06 SEPTEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Gerakan Tanah Air (GTA) membidas kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan kerjasama gabungan itu sukar diterima dalam politik di negara ini.

Ketua Setiausaha GTA, Datuk Marzuki Yahya berkata, adakah memperjuangkan orang-orang Melayu boleh dianggap sebagai hilang prinsip.

“Adakah kita memperjuangkan orang Melayu kita (GTA) dianggap hilang prinsip? Bagi kita GTA adalah gabungan orang Melayu dan masalah yang berlaku dalam negara ini adalah disebabkan oleh pemimpin politik yang dilakukan oleh Melayu.

“Sebab itu kita berhasrat untuk mendirikan sebuah kerajaan yang berwibawa tanpa menidakkan hak kaum lain.

“Bagi saya, ini jelas kalau nak anggap kita memperjuangkan bangsa Melayu dianggap sebagai tidak ada prinsip, saya tidak tahu nak komen apa lagi,” katanya dalam sidang media selepas membuat permohonan gerakan itu ke pejabat Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) hari ini.

Marzuki berkata demikian mengulas kenyataan Anwar semalam menyifatkan kerjasama dengan GTA pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad bersama PH dilihat sukar memandangkan kedua-duanya memiliki prinsip berbeza.

Anwar berpendapat, isu memerangi rasuah ketika ini turut dibicarakan oleh perasuah besar sedangkan fokus yang perlu dilihat ialah berkaitan peranan yang perlu dimainkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam pada itu, Marzuki berkata, GTA tidak berhasrat untuk mengadakan apa-apa lagi perbincangan dengan mana-mana parti politik.

Katanya, GTA kini dalam misi memperkasakan gabungan antara empat parti di dalamnya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) kelak.

“Kita lebih tertumpu untuk memperkasakan GTA dan kita tidak berhasrat untuk mengadakan apa-apa perbincangan lagi yang utama kita adalah untuk memperkasakan GTA dan memperkenalkan GTA,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast