Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan komited untuk terus menyokong sektor peranti perubatan sebagai salah satu sektor pertumbuhan utama negara pada Bajet 2023.

Daripada 30 pemain industri peranti perubatan terbesar di dunia, 10 beroperasi di Malaysia, termasuk di Pulau Pinang.

Pada tahun 2021, sebanyak RM7.7 bilion jumlah pelaburan telah ditarik oleh sektor ini, merangkumi beberapa syarikat di Bayan Lepas selama sehingga 50 tahun dan syarikat yang sedang dalam proses membina kilang baharu di Batu Kawan, Pulau Pinang.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, sektor ini telah mencipta 39,000 peluang pekerjaan dari 2017 sehingga 2021 dan menyumbang eksport RM41.3 bilion pada tahun 2021.

”Kejayaan syarikat peranti perubatan yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara tidak perlu diragukan lagi,” katanya selepas mengadakan sesi jelajah Bajet 2023 ke Pulau Pinang baru-baru ini.

Program ini untuk mendapat pandangan dan cadangan daripada kerajaan negeri, pihak industri, akar umbi dan dalam usaha Kerajaan Persekutuan merangka sebuah bajet tahunan yang memenuhi keperluan rakyat, serta memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.

Beliau juga berkesempatan mengadakan sesi libat urus dengan beberapa syarikat teknologi pertumbuhan tinggi (start-ups).

Usaha ini selaras dengan penubuhan Kertas Konsultasi Awam terkini mengenai untuk Bajet 2023 bertajuk “Dasar Penggunaan Barangan, Perkhidmatan dan Teknologi Hasil Penyelidikan Dan Pembangunan (R&D) Tempatan Dalam Perolehan Kerajaan” yang
bertujuan melindungi dan membangunkan keupayaan syarikat teknologi tempatan melalui penambahbaikan ekosistem pemindahan teknologi, pengkomersialan dan pemasaran hasil R&D tempatan.

Maklumbalas kepada KKA tersebut boleh dikongsi melalui pautan https://budget.mof.gov.my/bajet2023/kertaskonsultasi/ sehingga 15
September 2022.

Menteri Kewangan juga berkesempatan berdialog dengan pengasas dan pihak pengurusan The Habitat di Bukit Bendera bagi mendapatkan status terkini program ‘UNESCO Man & the Biosphere Reserve’, salah satu penerima peruntukan di bawah Bajet 2022.

Dengan peruntukan tersebut, ia berjaya menambahbaik usaha untuk menerapkan konsep ekonomi kitaran sebagai asas kepada pembangunan eko-pelancongan lestari di Malaysia.

Menurutnya, sokongan kepada industri eko-pelancongan merupakan strategi serampang dua mata untuk memelihara khazanah alam semulajadi negara dan pada masa yang sama, menyasarkan pelancong bernilai tinggi.

Sesi jelajah Bajet 2023 ke Pulau Pinang telah melengkapkan jelajah ke semua negeri. – MalaysiaGazette