Datuk Seri Dr Shahidan Kassim

PUTRAJAYA – Semua pihak perlu menjadikan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa kuasa menghukum dan memberi pengampunan tidak wajar digunakan sewenang-wenangnya kerana ia bakal dipertanggungjawabkan pada hari kemudian sebagai panduan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim yang menyatakan demikian bagaimanapun enggan mengulas mengenai permohonan pengampunan yang difailkan Datuk Seri Najib Razak kerana menyifatkan isu berkenaan tidak wajar dibahas secara terbuka.

“Tidak boleh ulas buat komen terbuka kerana melibatkan perundangan, dunia dan akhirat seperti titah Agong semalam kita semua ambil panduan.

“Kita harus ingat apabila seseorang itu telah mendapat hukuman kita manusia lain berdoa semoga Allah merahmatinya, jangan kita melampaui batas.

“Saya tidak boleh komen sebab bukan melibatkan saya seorang,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Semalam, Al-Sultan Abdullah bertitah, undang-undang yang tidak dilaksanakan secara konsisten dan adil akan menjurus kepada penindasan dan kezaliman dalam sistem pemerintahan.

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, mengesahkan status Najib sebagai Ahli Parlimen Pekan kekal buat masa ini.

Jelas beliau, ia berikutan bekas Perdana Menteri yang sedang menjalani hukuman penjara selama 12 tahun itu telah memfailkan petisyen pengampunan pada Jumaat lalu.-MalaysiaGazette