KOTA KINABALU – Seramai 63 pelajar program Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan (FKJ) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengikuti Kem Ukur 2022, suatu medium efektif untuk mempraktikkan ilmu pengetahuan yang dipelajari semasa kuliah.
Menurut Pengarah Kem Ukur, Sr. Ts. Dr. Asmawan Mohd. Sarman, program itu diadakan bertujuan untuk memberikan gambaran awal yang lebih jelas tentang situasi yang akan dihadapi dalam industri kelak.
Pemilihan Kundasang sebagai lokasi program adalah sangat bersesuaian kerana kawasan ini mempunyai rupa bentuk muka bumi yang pelbagai dan dapat memberikan pendedahan kepada pelajar tentang kaedah Ukur Kejuruteraan di lapangan yang sebenar.
”Program ini juga dapat melahirkan bakal jurutera serba boleh dan berkeyakinan untuk memenuhi keperluan semasa industri,” katanya.
Sementara itu, peserta Kem Ukur 2022, Ruzaithy Azhnie Justi berkata, pengisian program ini memberikan banyak manfaat dan pengalaman berharga kepada pelajar Kejuruteraan Awam.
”Peluang mengaplikasikan ilmu Ukur Kejuruteraan secara amali di lapangan merupakan satu kelebihan kepada kami agar lebih bersedia sebelum melangkah masuk ke alam pekerjaan. Kami juga mendapat pendedahan kepada perisian ukur untuk menganalisis data secara digital.
”Program ini turut menguji kemahiran seperti pemikiran kritikal dan kebolehan bekerja dalam kumpulan secara tidak langsung untuk mengatasi segala cabaran dan halangan yang dihadapi semasa menyelesaikan tugasan dalam tempoh yang ditetapkan,” tambahnya.
Program ini akan diteruskan lagi pada sesi akan datang untuk meningkatkan kadar kebolehpasaran bakal graduan FKJ UMS. – MalaysiaGazette