Anggota bomba mengangkat mayat mangsa lemas di Air Terjun Batu Berangkai, Kampar, Perak hari ini.

KAMPAR – Aktiviti rekreasi seorang remaja lelaki bersama dua rakan serta bekas gurunya berakhirnya dengan tragedi apabila dia ditemui mati lemas di kawasan rekreasi Air Terjun Batu Berangkai di sini, hari ini.

Mangsa, Luqman Hakim Ismail Sukri,16, yang ditemui orang awam sebelum kehadiran pihak bomba itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.52 pagi.

“Sebaik tiba kita dapati remaja itu telah diselamatkan orang awam sebelum anggota bomba membantu mengangkat mangsa dari tebing sungai ke atas.

Mayat dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, hasil siasatan mendapati mangsa datang bersama dua rakan serta bekas gurunya dari Kampung Gajah dan tiba di taman rekreasi itu pada jam 11.30 pagi.

“Mangsa orang pertama yang berenang dalam air terjun itu manakala dua rakannya serta dan bekas guru sedang mengangkat barang.

“Bagaimanapun, mangsa tiba-tiba dikatakan tenggelam di kawasan tengah air terjun tersebut sebelum hilang.

“Susulan itu, gurunya telah memanggil mangsa tetapi tiada jawapan sebelum meminta bantuan penduduk kampung dan menghubungi talian kecemasan bagi memaklumkan kejadian berkenaan,” jelas beliau.

Tambah Mohamad Nazri, hasil pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati kawasan itu berisiko dan kerap berlaku kematian.

“Selain itu, tiada unsur jenayah dalam kematian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” kata beliau. – MalaysiaGazette